Penjaga gol Liverpool, Loris Karius sekali lagi membuat penyokong The Reds pening kepala.
Kali ini, beliau telah melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan dalam perlawanan persahabatan menentang Tranmere Rovers semalam.
Kesilapan Karius yang gagal menangkap bola dengan kemas pada minit ke-72 perlawanan hasil sepakan percuma Oliver Norburn membolehkan Johnny Smith berjaya menyumbat gol pertama buat Tranmere Rovers.
Walapun perlawanan tersebut dimenangi Liverpool, peminat lebih gemar untuk membicarakan tentang kesilapan yang dilakukan Karius pada perlawanan tersebut.
Karius tidak terlepas menerima kritikan dari para peminat Liverpool.
Pelbagai kritikan telah dilemparkan terhadap beliau antaranya dengan menyifatkan penjaga gol itu tidak sepatutnya bermain untuk Liverpool lagi.
Namun, pengurus The Reds, Jürgen Klopp telah tampil mempertahankan pengaja gol kelahiran Jerman itu dan terus menyokong persembahan beliau.
Bercakap selepas perlawanan, Klopp menjelaskan bahawa tiada siapa yang menyukai dengan jaringan tersebut dalam masa yang sama mengakui ianya sukar untuk diselamatkan.
“Kesalahan akan tetap terjadi. Saya tidak suka hal itu, tetapi saya percaya dia (Karius) sama seperti saya, tidak menyukainya.”
“Dalam situasi itu, dia sebenarnya mampu untuk menyelamatkannya, akan tetapi bola itu laju dan sukar untuk ditanganinya.” ujarnya
Tambahnya lagi, “Lupakan perkara itu. Mari kita lakukan yang terbaik dan belajar dari kesilapan tersebut dan memperbaikinya.”
Karius mula menjadi perhatian dan menjadi bahan ejekan peminat sendiri selepas melakukan dua kesilapan mudah ketika menentang Real Madrid di final Liga Juara-Juara yang lalu.
Hasil rawatan susulan selepas itu, Karius disahkan mengalami gegaran otak selepas terlebih dahulu berlanggar dengan pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos.