Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes menang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua berturut-turut selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang bulan Jun.
Ketibaan Fernandes di Old Trafford semasa tempoh perpindahan bulan Januari lalu telah memberikan impak yang cukup besar kepada United selepas pasukan itu bergelut dengan prestasi tidak konsisten dan berdepan dengan krisis kecederaan beberapa pemain utama sepanjang separuh musim pertama.
Gol yang dijaringkan ketika berdepan Aston Villa pada Khamis menjadikan beliau kini mengumpul tujuh gol dan enam bantuan jaringan dalam 10 perlawanan liga yang juga merupakan rekod pemain baharu EPL terbaik.
A dream start 💫
— Premier League (@premierleague) July 10, 2020
🔴 Back-to-back @EASPORTSFIFA Player of the Month wins for @B_Fernandes8#PLAwards pic.twitter.com/eosQdO2nvY
United memulakan bulan Jun dengan kunjungan ke Tottenham di mana Fernandes menyelamatkan United dengan gol penyamaan membolehkan pasukannya membawa pulang satu mata.
Diikuti dengan kemenangan 3-0 ke atas Sheffield United di gelanggang sendiri sebelum pemain Portugal itu menyumbat dua gol ketika menumpaskan Brighton & Hove Albion di Stadium American Express.
Tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam tiga perlawanan menjadikan beliau pilihan utama untuk meraih anugerah bulanan tersebut.
Lima nama lain yang dicalonkan adalah rakan sepasukannya, Anthony Martial, penyerang Southampton, Danny Ings, penyerang Newcastle United, Allan Saint-Maximin serta dua pemain Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez dan Conor Coady.
Lebih manis lagi, gol Fernandes sewaktu berdepan Brighton menerusi rembatan voli yang bermula dengan gerakan serangan balas pantas turut diumumkan sebagai gol terbaik bulan Jun.
"A classic counter attack." 💥
— Budweiser Football (@budfootball) July 10, 2020
Man Utd's @B_Fernandes8 is the @premierleague Goal of the Month winner for June! #BeAKing https://t.co/itqQCnoqvu
Fernandes kini dalam misi untuk memastikan United menamatkan saingan EPL di kedudukan empat teratas bagi mengejar slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Kredit Foto: EA Sports FIFA