Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes mengakui beliau masih perlu bekerja keras dalam memperbaiki permainannya kerana merasakan kualiti hebat amat diperlukan apabila menyarung jersi pasukan seperti Manchester United.
Fernandes yang dibawa masuk dari Sporting Lisbon pada jendela perpindahan musim sejuk itu memberikan impak pantas dengan persembahan meyakinkan ditunjukkan pemain kelahiran Maia, Portugal tersebut.
Kehadirannya seolah-olah telah memberikan aura baharu terutama di jentera tengah Manchester United dan turut berupaya menjaringkan tiga gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam sembilan perlawanan dilalui setakat ini.
”Visi saya untuk datang ke Manchester United adalah saya berada di salah sebuah kelab yang terbaik di dunia, bagi saya, kelab yang terbaik di England.”
”Idea saya untuk tahun [musim] hadapan untuk menjadi lebih baik daripada apa yang telah dipamerkan pada ketika ini,” ujar Fernandes menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Bagi saya, ia [persembahan] masih belum cukup baik kerana kini mungkin akan menjadi bahagian yang sukar.”
”Para pemain sudah mula mengenali corak permainan anda, mula untuk tahu bagaimana anda bergerak, melepasi lawan, bagaimana melakukan percubaan dan semua itu menjadi sukar pada ketika ini.”
”Disebabkan itu, saya perlu untuk terus meningkatkan prestasi dan bekerja dengan lebih lagi serta memahami tentang pasukan yang akan saya hadapi kerana mereka akan lebih mengetahui tentang saya, tetapi saya perlu bersedia untuk memahami dengan lebih baik kesukaran yang bakal mereka hadapi,” tambah Fernandes lagi.