Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes terus menjadi ‘mangsa’ kepada serangan psikologi yang dimainkan oleh pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho.
Sekiranya sebelum ini Mourinho menegaskan bahawa beliau tidak akan menukar Giovani Lo Celso dengan Fernandes atau mana-mana pemain lain, kali ini beliau seolah-olah menyindir pemain tengah Manchester United itu sebagai pengambil sepakan penalti yang baik.
”Bruno masuk, dia begitu cergas, bermain dengan sangat baik, meningkatkan pasukan United dan juga membuktikan dia mampu menjadi pengambil sepakan penalti yang hebat, antara yang terbaik di dunia kerana dia telah mencetak hampir 20 gol,” ujar Mourinho bercakap tentang Fernandes.
Sindiran sinis tersebut bagaimanapun dibalas kembali dengan tenang oleh pemain kelahiran Maia, Portugal itu berserta fakta.
”Sejujurnya saya langsung tidak tersinggung dengan kenyataan tersebut.”
”Saya merasakan bahawa saya merupakan seorang pengambil sepakan penalti yang baik dan tidak lebih daripada itu, saya memahaminya, tetapi apa yang saya ambil iktibar dari kata-katanya, kerana saya merupakan seorang yang sangat positif, adalah bahawa dia mengatakan saya menyempurnakan sepakan penalti dengan baik.”
”Itulah kenyataannya, paling tidak sejak saya tiba di Manchester United,” ujar Fernandes menurut laporan Goal.
”Saya mendengar orang berkata ‘ah, dia hanya jaringkan gol menerusi sepakan penalti’ tetapi beberapa ketika yang lalu, saya melihat statistik dan kecuali untuk sepakan penalti, hanya Kevin De Bruyne sahaja yang lebih banyak terlibat dalam penghasilan jaringan pasukan di England, bercakap tentang pemain tengah.”
Menyertai pasukan pada bulan Januari dan membuat 22 penampilan bersama Manchester United pada musim ini, Fernandes berjaya menjaringkan 12 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan dalam semua pertandingan [EPL, Liga Europa dan Piala FA] yang disertai kelab tersebut.
Kredit featured image: Matt Childs/ Pool via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Jose Mourinho: