Pertahanan Portugal, Bruno Alves mendedahkan perasaan rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo yang begitu marah selepas gagal merangkul anugerah Ballon d’Or 2018.
Menurut Alves, Ronaldo sangat marah apabila beliau gagal dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut. Malah beliau turun mempertikaikan kemenangan yang diraih oleh Luka Modric.
Ronaldo dan Messi mendominasi anugerah berkenaan sejak sedekad lalu dengan masing-masing memenangi lima gelaran.
Rentetan itu ditamatkan sehingga Modric dinobat pemenang anugerah Ballon d’Or 2018 bagi merobek penguasaan dua superstar bola sepak dunia itu.
Layak menang
Alves membicarakan soal tersebut selepas beliau ditanya oleh wartawan mengenai kegagalan Ronaldo memenangi Ballon d’Or.
“Ronaldo marah kerana gagal memenangi Ballon d’Or? Tentu sahaja! Itu kerana dia sememangnya layak mendapatkannya.”
Namun begitu, Alves percaya kegagalan Ronaldo akan memberikan semangat dan motivasi buat pemain terbaik dunia itu untuk terus bangkit di tahun yang mendatang.
“Tetapi apabila gagal memenangi, ia akan memberikan motivasi kepadanya untuk menempuh tahun-tahun seterusnya.”
“Penting bagi dirinya dan kelab untuk dijadikan motivasi,” kata Alves.
Inspirasi pemain muda
Pertahanan berusia 37 tahun itu turut mengakui bahawa Ronaldo yang dikenalinya merupakan seorang insan yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Beliau akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik, apatah lagi selepas gagal pada tahun lalu.
“Dia tidak puas, dia ingin memenangi (anugerah) itu lebih dan lebih lagi. Dia ingin menang, misalnya, meraih trofi Liga Juara-Juara Eropah.”
Selain itu, Alves turut mengakui ramai pemain bola sepak di Portugal mahupun diseluruh dunia menjadikan Ronaldo sebagai sumber inspirasi.
“Dia istimewa dan menyenangkan saat diajak bergaul. Ia suka ketawa dan profesional. Ia sumber inspirasi bagi semua orang di Portugal,” puji Alves.
“Tidak itu sahaja, dia adalah contoh bagi setiap pemain di dunia untuk mereka belajar bagaimana untuk menjadi setaraf sepertinya.”