Mengapa Australia Ingin Selamatkan Pemain Kelahiran Bahrain Ini Dan Mengapa Malaysia Harus Bantu

Bayangkan anda dalam perjalanan ke restoran terdekat untuk menonton perlawanan El Clasico, tetapi di tengah-tengah perjalanan, anda ditangkap oleh polis hanya kerana anda menyuarakan protes anda terhadap tindakan kerajaan. Menurut polis, anda ditangkap atas dakwaan ‘menyerang balai polis’. Sedangkan anda mempunyai alibi jelas bahawa pada waktu kejadian, anda berada di tempat lain. Ketika di tahanan, anda dipukul dan diseksa.

Inilah yang berlaku kepada pemain kelahiran Bahrain, Hakeem al-Araibi.

Siapa Hakeem al-Araibi?

Pada 7 November 2012, pada hari ulang tahun kelahirannya ke-19, Hakeem berjalan ke sebuah kafe di Bahrain untuk menonton perlawanan El Clasico. Di tengah perjalanan, Hakeem kemudiannya ditahan oleh polis – atas dakwaan menyerang sebuah balai polis pada 4 hari sebelumnya.

Hakeem al-Araibi ketika beraksi di Liga Bahrain pada 2012. (Foto: Bahrain Mirror)

Apa yang pihak berkuasa Bahrain gagal ambil kira adalah, pada hari sama beliau dituduh ‘menyerang’ balai polis tersebut, Hakeem sedang bermain untuk pasukannya, Al-Shabab dalam satu perlawanan Liga Bahrain – yang disiarkan secara langsung di stesen TV Bahrain! Kelab beliau dan rakan sepasukannya mengesahkan alibi Hakeem ini. Tetapi Hakeem tetap didakwa. Hakeem tetap mengaku tidak bersalah.

Hakeem direman selama 2 hari. Kerajaan Bahrain kemudiannya memanjangkan tempoh reman beliau daripada 2 hari kepada 45 hari. Sepanjang 45 hari ini, Hakeem diseksa supaya mengaku kesalahannya. “Mereka menghabiskan masa 3 jam memukul kaki saya dengan kuat, sambil berkata: kami akan hancurkan masa depan kamu. Kamu takkan dapat main bola lagi dengan kaki ini,” dedah Hakeem kepada media.

Selepas tempoh reman beliau berakhir, Hakeem al-Araibi cepat-cepat melarikan diri keluar dari Bahrain. Pada masa sama, kerajaan Bahrain juga cepat-cepat mendakwa Hakeem ‘in absentia’ sebelum dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Badan pemerhati hak asasi manusia sejagat, Amnesty International mengesahkan dakwaan kes Hakeem ini tidak adil.

Ke mana Hakeem al-Araibi lari?

Pada mulanya Hakeem al-Araibi melarikan diri ke Iran, kemudian Malaysia, kemudian Thailand sebelum mendapat suaka politik di Australia pada 2014. Sejak itu, Hakeem tinggal di Melbourne, berkahwin dan bermain secara semi-pro di Liga Divisyen 2 Australia. Ketika ini, pemain pertahanan berusia 26 tahun ini bermain untuk Pascoe Vale FC.

Aksi Hakeem al-Araibi ketika bermain bersama Pascoe Vale FC di Australia (Foto: BBC)

Jika beliau sudah lama mendapat suaka politik di Australia, mengapa sekarang kes beliau kecoh?

Kes Hakeem al-Araibi kembali mendapat perhatian antarabangsa selepas beliau dan isterinya ditahan oleh pihak berkuasa Thailand ketika sedang bercuti bulan madu di sana pada 27 November 2018. Difahamkan beliau ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi atas permintaan kerajaan Bahrain dan ‘notis merah’ yang dikeluarkan oleh Interpol.

Hakeem al-Araibi ketika ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. (Foto: The Australian)

Interpol kemudiannya menarik balik status merah tersebut, yang tersilap dikeluarkan kerana bertentangan dengan polisi Interpol sendiri yang melindungi pelarian dan pencari suaka. Tetapi malang buat Hakeem, Thailand mempunyai hubungan ekonomi yang baik dengan Bahrain dan tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951*, yang melindungi pelarian.

* Malaysia, seperti Thailand, juga tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 ini – menyebabkan kerajaan tidak boleh melindungi pelarian yang masuk ke negara kita. Akibatnya, pelarian yang masuk ke Malaysia tidak mempunyai dokumen sah; menyebabkan mereka tidak boleh mendapat pendidikan, pekerjaan dan seterusnya menyara diri sendiri dan keluarga mereka. Lihat video bawah untuk penerangan lanjut.

Pada 4 Februari 2019, Hakeem al-Araibi tiba di mahkamah di Bangkok dengan kakinya dirantai di hadapan media antarabangsa sambil merayu supaya tidak dihantar kembali ke Bahrain. Hakeem percaya jika beliau dihantar kembali ke Bahrain, beliau akan diseksa sehingga mati.

Apa yang protes Hakeem al-Araibi kepada kerajaan Bahrain pada 2012?

Jika anda masih ingat 9 tahun lepas pada tahun 2010, Mohamed Bouazizi – seorang peniaga jalanan di Tunisia – membakar dirinya sendiri sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan Tunisia yang merampas barang perniagaan. Semuanya gara-gara Bouazizi tidak mempunyai duit untuk merasuah pegawai polis yang merampas barang perniagaannya.

TUNIS, TUNISIA – JANUARY 23: A portrait of Mohamed Bouazizi, who has become a hero in Tunisia ever since he doused himself in petrol and set himself alight and died of his injuries, is displayed from a post in Avenue Bourghiba on January 23, 2011 in Tunis, Tunisia. Protesters from the countryside and the hamlet of Sidi Bouzid, the town where the ‘Jasmine Revolution’ started, walked through the night to descend on the prime minsiters office where they tore down razor wire barricades and met no resistance from the police or army. (Photo by Christopher Furlong/Getty Images)

Tindakan Bouazizi ini umpama pemangkin (catalyst) kepada siri-siri kebangkitan rakyat marhaen ke atas kerajaan rejim autokratik di Tunisia dan negara-negara Arab lain. Sejurus selepas Bouazizi membakar dirinya sendiri, bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali terpaksa meletakkan jawatan selepas berkuasa selama 23 tahun.

Selepas itu, benih protes di Tunisia merebak ke Mesir pula. Presiden Hosni Mubarak yang terkenal dengan amalan rasuah dan membunuh penentangnya, digulingkan oleh revolusi rakyat yang diketuai oleh parti Ikhwanul Muslimin. Hosni Mubarak kemudiannya digantikan dengan Mohamed Morsi sebelum digulingkan pula oleh Abdel Fattah el-Sisi (masihkah anda ingat?).

Bahrain turut terkesan dengan gerakan ini. Pada 2012, rakyat Bahrain turun ke jalan raya menuntut kesaksamaan dan pengakhiran monarki Raja Hamad bin Isa Al Khalifa. Hakeem al-Araibi adalah antara rakyat Bahrain yang turut bersuara dalam gerakan ini. Ini menyebabkan Hakeem – seperti pendokong-pendokong protes lain – dihukum oleh kerajaan Bahrain.

Mengapa Malaysia perlu membantu Hakeem al-Araibi?

Malaysia adalah sebuah negara yang dibentuk melalui landasan keadilan. Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, bangsa dan agama percaya, semua orang berhak untuk mendapat kebebasan menyuarakan pendapat – termasuklah mengkritik kerajaan dan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap isu sosio-politik dan sosio-ekonomi – tanpa ancaman hukuman daripada kerajaan.

Rakyat Malaysia percaya bahawa tanpa pembangkang yang kuat, kerajaan tidak akan menjadi kuat. Rakyat Malaysia percaya ‘tuan’ sebenar sesebuah negara adalah rakyat – bukannya ahli politik.

Dengan menyuarakan pendapatnya terhadap kerajaan, Hakeem al-Araibi tidak jauh beza dengan kita. Seperti kita, Hakeem juga berhak untuk mengkritik kerajaannya dengan bertanggungjawab tanpa ada ancaman penjara. Seperti kita, Hakeem juga berhak untuk mendapat proses pengadilan yang adil dan saksama jika didakwa. Seperti kita, Hakeem juga tidak boleh dipukul dan diseksa semasa dalam tahanan reman.

Sebab itulah perlunya bagi kita untuk menyertai masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Thailand untuk tidak menghantar Hakeem ke Bahrain. Sebaliknya Hakeem perlu dipulangkan ke ‘rumah’ barunya; Australia.

Bagaimana Malaysia boleh membantu?

Ketika ini rakyat Malaysia boleh menyertai kempen #SaveHakeem yang sedang tular di media sosial untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kes Hakeem al-Araibi ini.

Sudah banyak badan-badan, kelab-kelab dan kerajaan yang telah memberikan sokongan terhadap kempen #SaveHakeem setakat ini. Antaranya kerajaan Australia, Amnesty International, Football Federation Australia (FFA), FIFIPro, Professional Footballers Australia (PFA) dan FIFA.

SYDNEY, AUSTRALIA – JANUARY 19: Sydney FC fans display a sign in support for Hakeem al-Araibi during the round 14 A-League match between Sydney FC and the Newcastle Jets at WIN Jubilee Stadium on January 19, 2019 in Sydney, Australia. (Photo by Mark Nolan/Getty Images)

Dalam kalangan pemain pula, Jamie Vardy menyertai Didier Drogba, Craig Foster (bekas kapten Australia), Francis Awaritefe (bekas pemain Australia), Giorgio Chiellini dan Ivan Franjic.

Bercakap mengenai isu ini juga, PFA Malaysia (PFAM) turut menyeru rakyat Malaysia untuk membantu memberi sokongan kepada kempen #SaveHakeem di media sosial. “PFAM berdiri bersama FIFPro dalam isu ini dan ingin menyeru rakyat Malaysia menyertai kempen #SaveHakeem. Pemain bola sepak, seperti rakyat biasa juga, mempunyai hak untuk bebas bersuara secara bertanggungjawab,” menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN