Sebelum Sepak Mula
Pasukan Brunei dan Laos boleh dianggap ‘lubuk’ untuk mencari mata maksimum buat pasukan-pasukan besar dalam Kumpulan A iaitu Myanmar, Singapura dan Malaysia.
Malaysia akan memulakan langkah dalam aksi Sukan SEA menentang Brunei pada malam ini dan sudah semestinya ingin memulakannya dengan langkah kanan.
Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee hampir pasti tidak akan meletakkan kesebelasan terkuat kerana akan bertembung dengan musuh seberang tambak, Singapura, dua hari berikutnya. Dengan isu kecergasan beberapa pemain, Kim Swee sudah tentu mencongak untuk membuat penggiliran pemain.
Dan skuad B-23 kebangsaan dijangka tiada masalah jika penggiliran pemain dibuat kerana kesemua 20 pemain yang tersenarai itu boleh dikategorikan sebagai yang terbaik berbanding empat edisi Sukan SEA yang telah dilalui oleh Kim Swee, sehingga beliau ‘pening kepala’ untuk membuat pilihan.
Sementara itu, di pihak Brunei, mereka akan bergantung harap sepenuhnya kepada kapten pasukan, Faiq Jefri Bolkiah untuk cuba meraih sesuatu menentang Malaysia.
Pengalaman Faiq di Eropah iaitu di pasukan simpanan Leicester City FC dan pasukan senior Brunei pasti akan ditagih untuk mengemudi jentera serangan malam ini.
Pertahanan Selangor dan skuad B-23 kebangsaan, Adam Nor Azlin menyatakan Faiq adalah seorang pemain yang lincah pada edisi 2015 lalu dan tugas mencabar menantinya kerana perlu merantai pemain yang mempunyai pengalaman bermain di aksi liga pembangunan di England itu.
Pemain Tumpuan
Penyerang meningkat naik berusia 22 tahun, Syafiq Ahmad pastinya akan menjadi nadi penggerak jentera serangan sekiranya Kim Swee menurunkannya dalam kesebelasan utama. Sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama Kedah telah mematangkan aksinya di padang.
Beliau cukup efektif di jentera serangan dan mampu mencipta peluang buat dirinya serta pasukannya. Mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan gerakan dengan bola dan tanpa bola, Syafiq boleh dianggap penyerang yang lengkap.
Dengan pilihan yang terhad dan mengambil kira pertembungan dengan Singapura pada Rabu ini, Kim Swee dijangka akan tetap mempertaruhkan Syafiq selaku penggempur utama bersama dua lagi pemain untuk membentuk gandingan tiga serangkai.
Selain Syafiq, kelibat Jafri Firdaus Chew juga mungkin boleh diberikan tumpuan walaupun kini sedang melalui fasa penurunan prestasi. Pemain yang memiliki rekod jaringan yang baik dalam kejohanan-kejohanan terutamanya di peringkat ASEAN ini, pada Kejohanan AFF B-19 tahun lalu, telah menyumbang empat gol dalam empat perlawanan.
Rekod Pertemuan Di Sukan SEA
Pertembungan terkini di antara kedua-dua pasukan adalah ketika aksi Kumpulan B di Singapura menyaksikan Malaysia menang 2-0 menerusi jaringan Nurridzuan Abu Hassan dan Adam Nor Azlin.
Dua tahun sebelum itu, Malaysia juga berjaya mengatasi Brunei juga dua gol tanpa balas hasil jaringan penyerang JDT II, Rozaimi Abdul Rahman dan Ashri Chuchu dalam aksi Kumpulan A di Myanmar.
Ironinya, kedua-dua pasukan pernah bertembung juga dalam aksi pertama kumpulan ketika Sukan SEA diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2001. Malaysia menang besar 5-0 hasil jaringan hatrik Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan satu gol masing-masing daripada Indra Putra Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.
Rekod Semasa
Malaysia kini dalam moral terbaik selepas melayakkan diri ke Kejohanan AFC B-23, bulan lalu. Skuad kendalian Kim Swee telah merekodkan dua kemenangan dan tewas sekali dalam pusingan kelayakan tersebut. Berada satu kumpulan dengan tuan rumah dan berjaya menjuarai aksi kumpulan tersebut, ia adalah satu motivasi terbaik.
- 19 Julai: Indonesia 0-3 Malaysia
- 21 Julai: Malaysia 0-3 Thailand
- 23 Julai: Malaysia 2-0 Mongolia
Bagi Brunei pula, aksi pusingan kelayakan tersebut perlu segera dilupakan. Mereka tumbang dalam ketiga-tiga aksi dan menduduki tangga tercorot dengan hanya satu jaringan diperolehi dan sembilan bolos. Menariknya dua pasukan iaitu Myanmar dan Singapura akan membuat perhitungan kembali bersama Brunei di Sukan SEA.
- 19 Julai: Australia 2-0 Brunei
- 21 Julai: Brunei 0-3 Myanmar
- 23 Julai: Singapura 4-1 Brunei
Ramalan Semuanya BOLA
Malaysia dijangka mudah menjinakkan Brunei dengan keputusan 4-0. Selain faktor selaku tuan rumah, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee pasti ingin mempamerkan aksi ‘garang’ untuk meletakkan satu penanda aras yang baik terutamanya dalam perlawanan pembukaan.
Mereka juga pasti ‘dahaga’ untuk membuktikan sesuatu selepas tiada aksi persahabatan buat mereka sebelum temasya Sukan SEA ini bermula. Mampukah mereka mengulangi rekod perlawanan pembukaan Sukan SEA pada tahun 2001 ?