Dalam sidang media pra-perlawanan menjelang aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan UAE sebentar tadi, Brendan Gan menyatakan bahawa kemenangan akan diperolehi jika pasukan mengekalkan fokus dan mengikut perancangan pasukan, tidak kira siapa lawannya.
Disamping itu, pemain tengah yang telah membuat sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan itu juga mengintai peluang untuk Harimau Malaya membuat kejutan kepada UAE.
“Sudah tentu dia (Omar Abdulrahman) adalah pemain yang hebat. Kami juga pernah saksikan dia beraksi beberapa tahun sebelum ini dan tahu kemampuan yang dia miliki. Kita harus hormatinya.
“Tetapi pada masa yang sama, kita semua adalah pemain bola sepak dan kita masuk ke padang adalah untuk memenangi perlawanan itu. Kita di sini bukan untuk seri ataupun kalah.
“Ia terpulang kepada bagaimana kita bermain dan bagaimana kita mengawalnya. Dan jika kita boleh mengikuti perancangan taktikal pasukan, berdisiplin dan paling penting bersungguh-sungguh, saya rasa kita boleh berikan UAE tentangan yang sengit,” ujarnya.
Kembali beraksi menentang Jordan selepas hampir tiga tahun menyepi, Brendan Gan terus mendapat keutamaan untuk mengisi slot jentera tengah yang sebelum ini menjadi rebutan di antara pemain-pemain skuad B-23 seperti Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba termasuk Akram Mahinan dan Halim Saari.
Pemain kacukan Australia-Malaysia itu menyatakan yang beliau rasa sangat mudah untuk serasi bersama pemain-pemain lain dalam skuad kebangsaan ketika ini walaupun ini kali pertama dia kembali untuk menyertai pasukan setelah beberapa ketika.
“Saya rasa ianya terpulang kepada suasana yang jurulatih terapkan. Mereka menerima pemain-pemain baru dengan tangan terbuka dan kami bersaing untuk matlamat yang sama [skuad kebangsaan].
“Kami bersaing sesama kami di dalam liga tetapi apabila untuk skuad kebangsaan, kami berjuang untuk negara. Jadi kami ada matlamat yang sama iaitu membantu skuad negara.
“Dan untuk datang ke dalam skuad yang menerima kehadiran anda dengan baik dan memiliki misi yang sama, ia sebenarnya cukup mudah untuk serasi bersama semua,” jelasnya sambil menjelaskan keraian kemenangan ke atas Indonesia tidak menjejas perancangan untuk perlawanan bertemu UAE di Bukit Jalil, pada Selasa.
Kredit Featured Image: Aremilworks