Quantcast

BERITA

Tan Cheng Hoe Tuntut Anak Buah Tingkatkan Prestasi Berdepan UAE

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menagih peningkatan prestasi daripada anak buahnya pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam esok.

Barisan pemain skuad negara kini dalam mood terbaik selepas berjaya melakar kemenangan bermakna pada aksi sulung di Jakarta tempoh hari.

Sedar pasukan pelawat hadir dengan reputasi selaku pasukan kedudukan ke-65 ranking dunia, pengendali berusia 51 tahun itu nyata mahukan sesuatu yang lebih dipamerkan anak buahnya.

”Walaupun UAE tidak bermain pada perlawanan pertama, saya tahu bahawa mereka telah melakukan persiapan dengan cukup baik sejak Julai lalu. Persiapan yang sangat rapi. Jurulatih mereka pasti menyaksikan perlawanan [Malaysia] menentang Indonesia.”

”Pada masa yang sama, sebagai jurulatih, saya sentiasa percaya tetapi ia tidak akan menjadi satu perlawanan yang mudah. Pastinya kami perlu meningkatkan prestasi. Tidak hanya pada perlawanan ini sahaja tetapi ini merupakan permainan yang cukup penting buat kami.”

Tan Cheng Hoe dan Bert Van Marwijk bersalaman selepas sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi.

”Perkara paling penting yang diperlukan oleh para pemain adalah motivasi diri untuk perlawanan ini. Mereka perlu fokus dan mempunyai lebih keinginan untuk memenangi perlawanan. Tetapi seperti saya katakan awal tadi, ia bukan merupakan perlawanan yang mudah,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap kepada wartawan pada sidang media pra-perlawanan di Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe turut melihat UAE turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil dengan pakej yang cukup baik dan kekuatan skuad bimbingan Bert Van Marwijk tidak hanya terletak pada individu.

”Ya, mana-mana pasukan akan memiliki pemain utama mereka, pemain yang mampu membuat sesuatu tetapi tumpuan bukan pada seorang pemain. Kita melihat keseluruhan pemain UAE mempunyai kualiti yang terbaik kerana pengalaman berada di pentas yang berbeza.”

”Bermain di perlawanan akhir Piala Asia, itu memberikan keyakinan tinggi buat UAE tetapi kita juga tahu pemain-pemain [Malaysia] kita sudah berada pada satu tahap yang terbaik.”

”Setiap perlawanan kita akan nampak peningkatan, sebagai jurulatih saya agak gembira tetapi masih lagi kita perlu berusaha dan bekerja keras pada setiap perlawanan dan sesi latihan.”

Kredit foto: Aremilworks