Aksi dramatik dari Claudio Bravo menjadi inspirasi untuk Chile sekali lagi. Ini adalah final ke-2 berturut-turut Chile dalam kejohanan major.
Sepanjang perlawanan, Portugal dan Chile bergelut dengan penyudah walaupun banyak cubaan gol dihasilkan.
Kedua-dua pasukan masing-masing melakukan 15 cubaan gol tetapi hanya 3 sahaja cubaan tepat. Ia sudah cukup menceritakan ketumpulan jentera serangan mereka untuk menyudahkan peluang.
Kredit juga untuk barisan pertahanan kedua-dua pasukan yang bertahan dengan baik sepanjang perlawanan ini. Bravo dan Rui Patricio juga melakukan beberapa aksi menyelamat yang menarik.
Perlawanan 90 minit berakhir 0-0 dan perlawanan diheret ke masa tambahan. Pada akhir babak masa tambahan ke-2, Chile hampir memenangi perlawanan.
Namun cubaan deras Vidal terkena tiang dan tindakan susulan Rodriguez pula terkena palang gol. Perlawanan akhirnya ditentukan menerusi sepakan penalti.
Claudio Bravo membuktikan dirinya antara kapten terbaik dalam sejarah bola sepak Chile. Beliau menjadi inspirasi penting sekali lagi.
Bravo menyelamatkan 3 penalti pertama dari Portugal yang diambil Quaresma, Moutinho dan Nani.
Chile tiada masalah menyempurnakan 3 penalti menerusi Vidal, Aranguiz dan Sanchez. Chile menang 3-0 dalam penetuan sepakan penalti.
Chile mara buat pertama kali ke final Piala Konfederasi. Lebih penting ini adalah mereka mara ke final dalam penampilan sulung mereka dalam kejohanan ini.
Mereka menewaskan juara Eropah, Portugal. Chile akan menanti pemenang di antara Jerman dan Mexico dalam perlawanan sebelah pagi esok.
Saksikan rangkuman perlawanan di sini: