Hero penalti Chile, Claudio Bravo memberitahu yang beliau tidak cergas 100% dalam perlawanan menentang Portugal pada awal pagi tadi waktu Malaysia.
Bravo menyelamatkan kesemua 3 penalti awal oleh Portugal untuk memastikan Chile menyelesaikan urusan penentuan penalti lebih awal. Chile menang 3-0 dalam penentuan tersebut.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Bravo memberitahu yang beliau tidak berada dalam kondisi terbaik di dalam perlawanan ini. Bravo masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan beliau.
Bravo terlepas perlawanan awal dalam kempen Piala Konfederasi 2017. Bravo hanya muncul dalam kesebelasan utama dalam perlawanan kedua menentang Australia. Bravo mengalami kecederaan di bahagian betis beliau.
Namun begitu, Bravo memberitahu yang beliau akan sentiasa cuba melakukan yang terbaik walaupun tidak cergas 100%.
“Saya sentiasa melakukan perkara yang biasa saya lakukan. Saya seorang yang sangat stabil. Saya tidak bermain dalam keadaan terbaik kerana kecederaan.”
“Saya biasanya akan cuba melakukan tugasan saya dalam keadaan tenang dan ini adalah perlawanan yang sangat istimewa untuk kami. Kami juga berjaya mara ke final. Ini sangat penting untuk kami melengkapkan kitaran kejayaan kami.”
“Kami sangat gembira untuk beraksi di final. Ia bukan sekadar peluang untuk kami. Kami perlu berusaha keras untuknya. Kami juga harus mengkaji tentang pihak lawan kami.”
“Rasanya kami bermain dengan ‘kepala’. Sebab kami terlalu letih. Akhirnya kami perlu bermain dengan kepala (mental) serta dengan hati kami.”
“Sudah pastinya kami sangat gembira kerana menewaskan Juara Eropah. Portugal memiliki beberapa peluang terbaik. Perlawanan agak seimbang.”
“Apa rahsia kejayaan kami? Pada pendapat saya, ianya kerana kami tidak pernah berhenti untuk percaya kepada diri sendiri. Dan kami melakukan apa sahaja untuk menang. Masih ada 1 perlawanan lagi untuk kami mencapai kejayaan.”