Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan Brad Maloney dilantik sebagai ketua jurulatih sementara skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19), berkuat kuasa mulai 1 Julai ini menggantikan tempat Bojan Hodak yang tidak dilanjutkan kontraknya.
FAM, dalam kenyataan media semalam, berkata jurulatih dari Australia itu akan memegang jawatan sementara itu sehingga akhir tahun ini dan tugas pertama adalah persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam pada 5 hingga 18 Ogos depan.
Selain itu, Maloney juga dipertanggungjawab untuk membimbing skuad B-19 kebangsaan bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja pada 2 hingga 10 Nov ini.
Bagaimanapun, FAM menjelaskan Maloney tetap kekal sebagai penolong ketua jurulatih B-23 negara kerana beliau adalah sebahagian daripada tenaga yang membantu skuad negara di Sukan Asia 2018 dan Kejuaraan B-23 AFC 2018, serta Sukan SEA 2017.
Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo menjelaskan, Maloney adalah calon ideal untuk mengisi jawatan itu kerana beliau sudah biasa dengan cara bola sepak di Malaysia.
“Brad sudah bersama kami sejak tahun 2014 dan dia sudah biasa dengan cara bola sepak di Malaysia yang membuatnya menjadi calon yang ideal untuk memimpin skuad B-19.
“Kami ingin menggalakkan hubungan kerja yang rapat dan harmoni antara ketua-ketua jurulatih dalam semua kategori umur dan saya yakin pelantikan Brad juga akan memperkuatkan lagi kami dalam hal ini,” katanya dalam laman web rasmi FAM.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyifatkan Maloney merupakan calon yang tepat berdasarkan kemampuannya membantu Datuk Ong Kim Swee meraih pelbagai kejayaan ketika membimbing skuad Malaysia B-23.
“Dia telah membuktikan dirinya sebagai penolong ketua jurulatih yang berwibawa dan kini tiba masanya untuk dia memimpin pasukan B-19 kebangsaan. Dia tidak sabar untuk memulakan tugasnya dan ia merupakan tanda yang positif,” kata Stuart Ramalingam.
Pencapaian terbaik beliau sepanjang bersama skuad Malaysia B-23 ialah membantu pasukan negara muncul sebagai pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 dan layak ke suku akhir kejohanan AFC B-23 di China tahun lalu.
Malah, beliau dan Ong Kim Swee sebelum ini juga pernah dihantar ke luar negara menimba ilmu kejurulatihan bersama pasukan Queen Park Rangers (QPR) dan Athletico Madrid selama sebulan.