Tak ada benda lebih pasti dalam dunia ini selain mati dan cukai. Jika ayat popular Benjamin Franklin ini disesuaikan dalam konteks bola sepak Malaysia, ia mungkin berbunyi – tak ada benda lebih pasti dalam bola sepak Malaysia selain masalah tunggakan gaji. Sampai penyokong bosan nak ulas.
One team league, bosan tengok liga Malaysia ni. Team lain pun macam bangang manjang masalah gaji tak habis tu semua pindah jdt
— Hayree (@Hayree10) January 7, 2024
Dua minggu lepas, enam kelab liga Malaysia dihukum larangan mendaftar pemain (tempatan dan import) baharu oleh FIFA selepas terlibat dalam masalah tunggakan gaji – paling tinggi di Asia Tenggara. Jumlah ini dikurangkan kepada lima selepas KL City dilaporkan telah melangsaikan tunggakan itu pada 26 Mac 2024.
Sejak liga Malaysia diswastakan (bermula dengan penubuhan Football Malaysia Limited Liability Partnership, FMLLP), semua kelab pernah dilanda masalah tunggakan gaji. Dari Perlis ke Melaka, Kelantan ke Pahang, Sabah ke Sarawak – semua pasukan di negeri-negeri ini pernah bergelut membayar gaji pemain. Kecuali satu: JDT.
Masalah tunggakan gaji ini sangat kronik sehinggakan majoriti dana FIFA Fund For Players di benua Asia digunakan untuk membantu pemain di Malaysia. Tak cukup teruk lagi? Renungkan ini pula. Pada musim 2017 dan 2018, penaung JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail pernah menggunakan dana sendiri untuk membayar gaji pemain untuk lima kelab Liga Super – termasuklah Selangor.
“Ketika saya memegang jawatan sebagai Presiden FAS pada tahun 2017-2018, saya tidak mendapat satu sen pun daripada kerajaan negeri, dan saya terpaksa mencari dana sendiri,” kata bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal. “Ketika itu, memang kami susah untuk mencari dana sendiri dan Alhamdulillah, Tunku Ismail bersetuju untuk membantu.”
Jika diimbas, masalah tunggakan gaji di kancah bola sepak Malaysia mula membarah selepas pengharaman syarikat tembakau daripada menaja liga pada tahun 2004. Sebelum itu, liga kita mewah. FAM sendiri menerima tajaan sehingga RM40 juta setahun (RM2 juta diberikan kepada setiap pasukan Liga Perdana sebagai subsidi).
Selepas 2004, lain ceritanya.
Kantung kerajaan negeri pula ditagih. Wang rakyat negeri yang sepatutnya diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dikecilkan dan dijimatkan – untuk menampung kos operasi pasukan liganya.
Jangan salah sangka. Pada era pasca-tajaan syarikat tembakau ini, bola sepak Malaysia tetap mewah. Setiap pasukan, tanpa gagal pada setiap musim, pasti mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain import. Bajet setiap pasukan tidak pernah kurang daripada RM10 juta setahun. Kemenangan setiap trofi pasti dibalas dengan bonus jutaan ringgit. Sedangkan ia hanya trofi domestik. Yang ajaibnya, semua komitmen ini dibuat tanpa mengira kemampanan kewangan kelab untuk jangka masa panjang.
Dan yang lebih menakjubkan adalah, semua kemewahan ini dilaburkan tanpa menaiktaraf kemudahan latihan kelab. Tanpa kerja-kerja menyelenggara padang dan kemudahan stadium pada setiap tahun. Tanpa menubuhkan akademi kelab sepenuh masa. Tanpa menyimpan pangkalan data penyokong. Tanpa ada visi untuk menjana pendapatan sendiri pada masa akan datang.
Sebab itulah sehingga kini ada kelab yang masih tidak memiliki fasiliti latihan kelab sendiri. Yang masih berbangga dengan padang cowgrass. Yang masih memperbodohkan rakyat negeri sendiri dengan merobohkan stadium lama dan membina stadium baharu dengan kos lebih mahal. Yang masih bergantung harap kepada inisiatif kerajaan untuk mencari bakat elit muda. Dan yang masih menagih tajaan tanpa ROI (return of investment).
Alasan demi alasan diberikan atas kegagalan ini. Tetapi yang paling popular adalah – tiada duit. “Kalau ada duit, semua jadi,” kata pendukung kegagalan ini.
Seorang penyokong Terengganu di Facebook menyangkal alasan ini, “Zaman Tan Sri Wan Mokthar pada tahun 1991 dulu lagi, dah bagi duit peruntukan RM10 juta setahun kepada PBSNT. Boleh check di arkib berita Utusan Malaysia. Pemberian ini berterusan sehinggalah PAS mengambil alih kerajaan negeri tahun 1999 hingga 2004 di mana tiada peruntukan diberi kecuali pengecualian bayaran sewa stadium dan levi.”
“Selepas itu, kerajaan BN ambil alih dan meneruskan peruntukan sekurang-kurangnya RM10 juta setahun. Bermula tahun 2015, duit peruntukan naik ke RM15-20 juta setahun.
“Kalau kita kira matematik mudah dari 1991 hingga 1998, kemudian 2005 hingga 2016 – selama 20 tahun kita menerima RM10 juta. Lebih RM200 juta telah dilaburkan untuk sekadar dapat 1 Piala Malaysia dan 2 Piala FA. Katakan kita hanya peruntukkan RM500,000 sahaja setiap tahun untuk projek-projek jangka masa panjang seperti buat akademi dan sebagainya. Bayangkan manfaatnya untuk Terengganu untuk masa-masa akan datang. Silap dulu kita hanya mahu menang piala. Sepatutnya kita kena pelan untuk jadi gergasi bola sepak.”
Tepat sekali.
Dengan limpahan duit yang diterima oleh pasukan-pasukan liga Malaysia dahulu, berapa banyak diperuntukkan untuk projek-projek jangka masa panjang?
DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan penaung JDT menyedari kelompongan ini sejak 2013. Yang pengkritik nampak, JDT berbelanja besar membeli pemain tempatan dan import. Yang mereka tak nampak (atau buat-buat tak nampak), JDT juga giat menaiktaraf kemudahan latihan kelab setiap tahun, menyelenggara padang dan kemudahan stadium, menaikkan kualiti akademi kelab dan menambahbaik tawaran nilai hari perlawanan kepada penyokong.
Pelaburan-pelaburan jangka masa panjang ini membuatkan reputasi JDT meningkat. Apabila reputasi kelab meningkat, semua pemain tempatan terbaik mahu bermain untuk JDT. Semua ibu bapa bakat muda elit mahu menghantar anak mereka ke akademi JDT. Semua penyokong bola sepak cilik mahu menyokong JDT. Dan yang paling penting sekali, semua syarikat mahu bekerjasama (joint venture atau JV) dan menaja JDT sekaligus menambah pendapatan komersil kelab.
Ya, memang bosan melihat JDT sahaja mendominasi berita-berita positif dalam kancah bola sepak Malaysia.
Tapi lagi bosan melihat bola sepak negara kita dirundung masalah tunggakan gaji – berulang-ulang setiap tahun pula – sejak zaman 2000-an.