‘Bonding Luar Biasa Pemain JDT’ – Mora Dedah Rakan Sepasukan Nekad Menang Untuk Safiq Rahim

Di dalam mana-mana pasukan bola sepak, sifat kebersamaan di kalangan pemain merupakan salah satu elemen terpenting. Tanpa sifat tersebut, mustahil untuk pemain bekerjasama untuk memburu kemenangan secara berpasukan.

Itulah kualiti yang ditampilkan oleh barisan pemain JDT ketika beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC pada malam tadi.

Mendahului aksi dengan tiga gol tanpa balas dalam tempoh 15 minit, secara tiba-tiba perlawanan menjadi panas dan diikuti layangan kad merah kepada Safiq Rahim kerana membuat ‘headbutt’ terhadap Faisal Halim.

Insiden tersebut sekaligus menyebabkan JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk baki 75 minit perlawanan.

Walaupun mendahului 3-0 pada ketika itu, apa pun masih boleh berlaku selagi pengadil perlawanan masih belum meniup wisel penamat.

Oleh kerana itu tindakan Safiq dianggap mampu mengundang padah kepada pasukan. Satu perkara yang pasti, Safiq pasti akan menyesali perbuatannya – kerana tidak boleh beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 November hadapan akibat perbuatannya itu.

Pendedahan Mora

Menyedari tindakannya itu bukan perkara yang boleh dibanggakan, Benjamin Mora mendedahkan bagaimana pemain yang dianggap senior di dalam pasukan itu memohon maaf kepada rakan sepasukan ketika rehat, selepas tamat babak pertama perlawanan.

Perkara itu didedahkan oleh Mora dalam sidang media selepas perlawanan. “Pada waktu rehat, beliau [Safiq] meminta maaf kepada seluruh pasukan,” kata Mora.

“Pemain-pemain pun berkata usahlah risau, dan mereka akan memastikan mereka menang perlawanan tersebut untuk beliau.

“Sifat kebersamaan yang ada [di kalangan pemain], mereka tidak perlukan saya. Mereka hanya perlukan sesama mereka seperti satu keluarga. Itulah sebabnya mereka sentiasa meraih kejuaraan.”

Sejak 2013, perlawanan akhir kali ini adalah perlawanan akhir keempat buat jaguh dari selatan tanah air itu. Kali pertama JDT mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada 2014, namun dikecewakan Pahang melalui penentuan sepakan penalti.

Musim 2017, JDT mencipta sejarah merangkul kejuaraan Piala Malaysia pertama mereka di bawah kendalian Ulisses Morais. Musim 2020 sekali lagi mereka merangkul kejuaraan ketika di bawah kendalian Benjamin Mora, dan pengendali dari Mexico itu hanya selangkah lagi untuk mengulangi pencapaian sama pada musim ini.

Tanpa Safiq Rahim di perlawanan akhir, JDT dijangka tidak mempunyai masalah untuk mencari pengganti kerana mempunyai pilihan lain seperti Nazmi Faiz, Afiz Fazail, atau pemain muda Ramadhan Saifullah untuk beraksi di posisi yang sama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN