Saingan Liga Super disambung lagi pada malam ini dengan beberapa aksi menarik akan diadakan seperti Kedah Darul Aman bertemu Kelantan serta Kuching City cuba untuk menafikan kekuatan Johor Darul Ta’zim.
Akan tetapi, tumpuan di dalam artikel kali ini adalah mengenai Terengganu, pasukan Pantai Timur yang bakal menentang Sabah di Likas jam 7.30 malam ini.
Cabaran yang sukar pastinya menanti skuad Tomislav Steinbruckner apabila bertandang ke Likas dengan mereka datang dengan rekod yang bahaya.
Hal ini kerana, Terengganu dalam rekod tewas dua perlawanan berturut-turut selepas mencatatkan kekalahan kepada Sri Pahang dan Selangor.
Kini bertemu dengan Sabah dan didorong dengan faktor beraksi di tempat lawan pastinya akan menyukarkan mereka dan potensi untuk tumbang untuk kali ketiga berturut-turut pastinya ada.
Tambahan pula, rekod pertahanan Terengganu juga tidaklah begitu menyakinkan dalam dua kekalahan terakhir.
Mereka memboloskan lima gol menentang Selangor dan dua ketika bertemu Pahang dan ini menjadikan keseluruhan kepada tujuh jaringan.
Lebih perit, ketajaman Terengganu di pintu gol juga meragukan kerana dalam dua perlawanan itu mereka cuma menjaringkan dua jaringan sahaja.
Jadi, apa yang Steinbruckner perlu lakukan untuk pastikan kemenangan milik Terengganu? Cabaran ini pastinya sukar kerana sebelum ini Selangor juga tewas di Likas.
Bukan saja teguh di laman mereka, malah Sabah juga adalah pasukan yang cukup garang apabila melayan tetamu mereka.
Mereka sebelum ini membelasah Penang 5-2 dan Kelantan 6-1 untuk memastikan rekod cemerlang di Likas terus cemerlang.
Jadi sekali lagi ditanya, apa Terengganu nak buat untuk pastikan tiga mata dibawa balik? Atau Steinbruckner bersedia untuk menjadi sasaran penyokong mereka apabila terus mencatatkan kekalahan?
Sama-sama kita nantikan.