Piala Asia 2023: Jangan Ketawakan Sasaran 1 Mata Hamidin Untuk Harimau Malaya

Piala Asia 2023

Saingan Piala Asia 2023 akan bermula pada Januari 2024 dan masanya semakin hampir untuk kesemua 24 pasukan mempersiap skuad masing-masing.

Ia juga tidak terkecuali dengan Malaysia, Harimau Malaya juga dalam proses untuk mempersiap skuad yang paling mantap boleh disediakan sebelum berdepan dengan Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Segala persiapan pastinya dilakukan sebaiknya. Selain persiapan, setiap pasukan yang bertanding pastinya mempunyai sasaran masing-masing di kejohanan ini.

Ada yang menetapkan untuk pasti juara, tidak kurang juga terdapat pasukan yang mensasarkan untuk pergi sejauh separuh akhir sahaja.

Malah tidak terkejut, ada pasukan yang sekadar mahu mencari kedudukan dalam kalangan tempat ketiga terbaik di peringkat kumpulan. Bagaimana pula dengan Malaysia?

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan yang pihaknya cuma mensasarkan satu mata sahaja untuk Harimau Malaya di Qatar kelak. Ya benar, satu mata sahaja.

Apa yang dikatakan oleh Hamidin ini jelas sekali sukar untuk diterima oleh penyokong. Di mata mereka, sasaran itu dilihat tidak berwawasan, tarik gear undur dan sebagainya.

Piala Asia: Hamidin Letak Sasaran Untuk Malaysia Sekurangnya Bawa Pulang 1 Mata

Malah ada juga yang mahu Hamidin letak jawatan kerana meletakkan sasaran sedemikian. Keterlaluan sungguh jika dilihat semula.

Jika dilihat semula, adakah ia sebenarnya satu sasaran yang main-main dan layak jadi bahan ketawa sahaja? Sebenarnya TIDAK.

Urus jangkaan anda dengan berhemah

Sasaran yang diletakkan oleh Hamidin ini bukanlah sesuatu yang dilihat seperti main-main atau tidak serius, sebaliknya beliau cuma mahu menguruskan jangkaan kita semua – para penyokong.

Mari kita singkap balik, benar Harimau Malaya adalah pasukan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Kita ada jurulatih yang berkaliber serta pilihan pemain semakin luas berbanding beberapa tahun yang lalu.

Namun begitu, perlulah kita ingat yang Harimau Malaya masih belum terbukti sepenuhnya di peringkat Asia. Kejayaan ketika pusingan kelayakan Piala Asia sebelum ini bukanlah petunjuk sebenar kekuatan kita.

Malah, kita belum lagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan gergasi Asia yang lain untuk menguji kekuatan. Dalam ranking pun, kita masih lagi di belakang. Lebih memedihkan, kita sebenarnya adalah pasukan ke-23 daripada 24 negara yang mengesahkan kelayakan ke Qatar – kedua terakhir tu!

Realiti ini sememangnya sukar untuk diterima tetapi hakikatnya kita masih lagi jauh ketinggalan. Hamidin sekadar berlaku realistik dan tidak mahu penyokong terbuai dengan keindahan sedangkan realiti pahit masih belum tiba dan sedang menunggu untuk menghimpit kita.

Tambahan pula, ini adalah Piala Asia. Bukannya saingan temasya dwi-tahunan dengan peraturan merapu atau saingan serantau yang dimana kelab-kelab bebas untuk tidak melepaskan pemain mereka sesuka hati. Ini adalah Piala Asia, menang kejohanan ini maka negara itulah yang terbaik di benua terbesar dunia ini.

Jadi, pastinya setiap negara akan menggunakan pemain-pemain terhebat mereka untuk memastikan kejayaan berjaya diraih dan pada ketika itulah realiti sebenar datang. Malaysia akan dihimpit dengan kekuatan sebenar negara-negara Asia yang begitu mahukan kejayaan Piala Asia.

Oleh itu, sasaran yang diletakkan Hamidin itu sebenarnya bukanlah punchline komedi. Sebaliknya, tidak mahu episod duka 2007 berulang lagi.

Ketika kita menjadi tuan rumah pada 2007, Malaysia dibelasah 5-1 oleh China dan 5-0 ditangan Uzbekistan. Kita juga kalah 2-0 ketika bertemu Iran.

Hamidin sedar yang aura Harimau Malaya sememangnya positif dan baik dalam kalangan penyokong ketika ini dan kerana itu sasaran satu mata itu dibuat. Beliau juga tidak mahu episod 2007 kembali terjadi kerana jika Hamidin meletakkan sasaran yang lebih gah dan tragedi itu berlaku lagi, penyokong sendiri yang akan merentan dan mengamuk.

Tidak salah untuk kita sasarkan perkara yang lebih tinggi seperti layak ke pusingan kalah mati, memperoleh enam mata atau sebagainya. Tetapi ini adalah Piala Asia, sedangkan di Asia Tenggara pun kita tak mampu jadi jaguh kampung macam mana nak lawan jagoan utama yang ada pemain berkelas dunia?

Kalau berjaya capai sasaran satu mata malah beraksi dengan lebih baik maka baguslah, kita beraksi menjangkaui sasaran. Masa itu, penyokong akan lebih teruja dan lebih kuat aura positif akan ada untuk Harimau Malaya.

Apa pun, buatlah yang terbaik di Piala Asia kelak. Peluang datang bukan selalu, jadi jadikan ia kempen yang akan diingati kerana perkara yang positif.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN