Bagaimana Bola Sepak Dunia Dan Malaysia Menjalani Ibadah Puasa

Selama sebulan, umat Islam di seluruh dunia bakal menjalani ibadah berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sebahagian besar masyarakat kita menganggap, puasa di bulan Ramadan boleh menjejaskan prestasi seorang pemain bola sepak seperti melambatkan tindak balas, memperlahankan larian dan mengurangkan ketahanan (endurance), selain risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kecederaan.

Meskipun demikian, menurut sesetengah kajian yang dijalankan, tidak semua kesan berpuasa kepada atlet adalah negatif.

Kajian Terhadap Ibadah Puasa

Terdapat beberapa kajian yang dilakukan terhadap atlet yang berpuasa yang menunjukkan amalan itu sebenarnya tidaklah menjejaskan prestasi seorang atlet itu secara mutlak.

Kajian pada tahun 2014 yang dilakukan keatas sekumpulan pelatih judo yang berpuasa di bulan Ramadan menunjukkan mereka masih mampu menjalani rutin latihan dan aerobik tanpa sebarang masalah seperti bulan-bulan sebelumnya.

Pasukan Kelantan menjalani latihan di Kota Bahru.

Dalam satu kajian yang dilakukan terhadap pemain bola sepak Tunisia, meskipun rutin latihan biasa masih dikekalkan pada bulan Ramadan, pemain masih boleh menjalaninya tanpa sebarang masalah. Malah, kadar pecutan pemain juga telah menunjukan peningkatan berbanding di luar bulan puasa.

Satu laporan yang diterbitkan oleh Journal of Sports Sciences turut menyatakan perkara yang sama. “Terdapat bukti kukuh bahawa atlet berprestasi tinggi masih boleh mengekalkan prestasi mereka di bulan Ramadan jika latihan fizikal, pengambilan makanan dan minuman serta waktu tidur diberikan secukupnya.”

Piala Dunia 2014 yang berlangsung pada bulan Ramadan

Sebelum Piala Dunia FIFA berlangsung pada tahun 2014, badan induk bola sepak dunia itu telah melaksanakan beberapa kajian terperinci mengenai kesan ibadah puasa terhadap pemain bola sepak dan mengkaji adakah ia selamat untuk dilaksanakan.

Ketua Pegawai Kesihatan FIFA, Jiri Dvorak dipetik berkata, “Kami telah melakukan kajian terperinci mengenai pemain bola sepak dan bulan Ramadan, dan kesimpulan yang boleh kami buat adalah jika berpuasa itu dilakukan secara betul, ia tidak akan menjejaskan prestasi fizikal pemain. Kami telah melakukan kajian dan tiada apa yang merisaukan kami.”

Algeria yang merupakan salah sebuah negara Muslim yang bertanding di temasya itu bagaimanapun masih berpuasa seperti biasa.

Menurut Mohammed Mekerkab, jurulatih mereka, “Para pemain Algeria tidak dibenarkan untuk ponteng puasa hanya demi sebuah perlawanan bola sepak – mereka perlu berpuasa kerana Tuhan akan bersama-sama mereka yang berpuasa dan bermain bola sepak dalam masa yang sama.”

Dalam edisi tersebut, Algeria berjaya mengenepikan cabaran Russia dan Korea Selatan seterusnya mara ke pusingan kalah mati sebelum tewas tipis 1-2 kepada juara dunia, Jerman.

Bolehkah pemain Muslim meninggalkan puasa?

Sebelum ini, semua atlet Muslim ditegah dari meninggalkan puasa kerana ia adalah salah satu dari rukun Islam. Bagaimanapun, ekoran dari tekanan kelab-kelab Eropah menyebabkan beberapa pemain mula meninggalkannya.

Zentralrat der Muslime in Duestchland (ZMD) atau Badan Agama Islam Jerman pernah memberikan saranan agar pemain bola sepak dibenarkan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan.

Saranan tersebut adalah berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh masjd Al-Azhar di Cairo dan Majlis Fatwa Eropah yang menggariskan bahawa pemain bola sepak Muslim dibenarkan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan dan menggantikannya semula di luar bulan puasa.

Saranan itu dikeluarkan oleh pihak ZMD setelah tiga pemain FC Frankfurt diberikan amaran bertulis oleh kelab kerana berpuasa tanpa keizinan kelab.

Menurut masjid Al-Azhar, apabila seorang pemain menandatangani kontrak bersama sebuah kelab, pemain tersebut wajib beraksi pada tahap yang diharapkan.

Dalam kes dimana sumber pendapatan pemain hanya bergantung kepada bermain bola sepak sahaja dan beraksi dalam bulan puasa tidak dapat dielakkan, pemain tersebut mempunyai hak untuk tidak berpuasa.

Menurut jurucakap masjid Al-Azhar, Abdul Bari Zamzani dipetik berkata, “Jika amalan puasa itu benar-benar boleh menjejaskan prestasi seorang pemain, dia dibenarkan untuk membuka puasa. Namun, ia masih lagi menjadi pilihan pemain itu sendiri.”

Bulan Ramadan dalam kancah bola sepak Malaysia

Tahun ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada Ramadan bagi mengelak jadual padat serta dapat berakhir lebih awal memandangkan skuad kebangsaan mempunyai tugasan antarabangsa di Piala AFF  pada November.

Berbeza dari bulan biasa, kesemua perlawanan Liga M dilewatkan pada jam 10.00 malam demi memberi ruang untuk pemain bersiap sedia selepas berbuka puasa dan peluang kepada peminat untuk menunaikan solat Tarawikh.

Foto: Zam Zainal / www.asiana.my

Pengendali FELDA United, B Sathianathan berpendapat bahawa pemain hanya perlu mengatasi halangan mental untuk beraksi pada sebelah malam selepas berbuka puasa.

“Tak ada masalah sebenarnya bermain di bulan puasa, kalau kita lihat liga bola sepak di negara Arab tetap berjalan dan meriah. Cuma jurulatih kena pandai menguruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan pemain,”.

Menyentuh soal latihan, pasukan FELDA United mengambil pendekatan untuk berlatih pada waktu malam.

“Pada saya ia hanya psikologi pemain kita yang fikir tak boleh aktif pada bulan puasa. Pemain hanya akan berlatih pada jam 10 malam hingga 12 tengah malam, selepas itu mereka boleh bersahur awal dan pada sebelah siang hanya berehat.

“Pada saya tak akan ada kesan kepada kualiti permainan. Kalau kita nak tetapkan tempoh permainan satu musim yang tetap dan tidak berubah, kita kena bermain pada bulan puasa seperti di negara Arab. Jika tidak tempoh musim liga kita tidak akan tepat,” katanya.

Kredit gambar: Zentralrat der Muslime, Mirror, Sportskeeda

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN