Bola Sepak CONCACAF: Kejohanan Antara Kelab & Antara Negara

Selepas pembaca diperkenalkan dengan selok-belok Major League Soccer (MLS), entri kali ini akan menerangkan apakah kejohanan yang disertai oleh kelab dan pasukan kebangsaan di Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean.

Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean (CONCACAF) mempunyai 3 kejohanan dibawahnya.

3 kejohanan itu adalah Liga Juara-Juara CONCACAF, Piala Emas CONCACAF dan Piala CONCACAF.

1. Liga Juara-Juara CONCACAF (CONCACAF Champions League)



Kejohanan ini merupakan saingan tertinggi bagi kelab-kelab di Amerika Utara dan ia setaraf dengan Liga Juara-Juara Asia dan Liga Juara-Juara Eropah.

Saingan sulung kejohanan ini bermula pada 1962 dan ketika itu dikenali sebagai CONCACAF Champions Cup.

Dan sejak daripada itu, kejohanan ini telah mempunyai 28 juara yang berbeza dengan 17 daripadanya menjuarai lebih dari satu edisi.

America (Mexico) dan Cruz Azul (Mexico) merupakan kelab paling berjaya dalam saingan benua dengan masing-masing mempunyai 6 kejuaraan.

Manakala Liga Costa Rica adalah yang terbaik kerana menghasilkan 6 pasukan berbeza yang pernah memenangi Liga Juara-Juara CONCACAF.

Juara bertahan sekarang adalah America selepas mereka menewaskan Montreal Impact 5-3 secara aggregat di perlawanan akhir.



Saiz bagi Liga Juara-Juara CONCACAF adalah sedikit kecil berbanding saingan serupa di Asia dan Eropah dengan hanya 24 pasukan sahaja bermain. Pembahagian slot mengikut negara adalah seperti berikut :

4 pasukan – Amerika Syarikat, Mexico

3 pasukan – Wakil Carribean yang melalui CFU Cup

2 pasukan – Costa Rica, El Salvador, Guatemala, Honduras, Panama

1 pasukan – Belize, Nicaragua, Canada

Kesemua 24 pasukan ini akan bermain dalam saingan kumpulan. Saingan tersebut akan mengambil tempat bermula Ogos hingga Oktober.

Setiap pasukan akan dibahagi kepada 8 kumpulan dengan 3 pasukan dalam setiap kumpulan akan bermain 4 perlawanan untuk melengkapkan saingan kumpulan.

Juara setiap kumpulan akan mara ke suku akhir dan akan bermain secara timbal balik. Timbal balik juga akan diguna pakai di peringkat separuh akhir dan akhir.

Juara Liga Juara-Juara CONCACAF akan mewakili zon CONCACAF ke Piala Kelab Dunia FIFA.

Namun berbeza dengan pemenang UEFA Champions League, mereka tidak akan layak ke saingan Liga Juara-Juara pada musim hadapan secara automatik.

2.0 Piala Emas CONCACAF (CONCACAF Gold Cup)



Ini merupakan kejohanan benua untuk pasukan kebangsaan zon CONCACAF.

Kejohanan ini berlangsung secara dwitahunan dan berlangsung pada tahun ganjil. Satu kejohanan yang berlangsung sama seperti ini adalah Sukan SEA.

Edisi pertama berlangsung pada 1963 dan pada waktu itu ia dikenali dengan CONCACAF Championship. Costa Rica adalah juara sulung.

Pada 1990, nama itu telah ditukar kepada CONCACAF Gold Cup dan diguna secara rasmi pada edisi 1991 di Amerika Syarikat. Ia juga dipanggil sebagai Copa Oro oleh negara anggota CONCACAF yang berbahasa Sepanyol.

12 pasukan akan menyertai pasukan ini dengan 3 kumpulan akan dibentuk. Ini bermakna setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan yang bermain secara round-robin.

3 juara kumpulan dan 3 naib juara kumpulan akan mara ke suku akhir. Baki 2 pasukan akan ditentukan menerusi pasukan tempat ketiga terbaik (best third-placed team) untuk melengkapkan 8 pasukan di suku akhir.

Oleh kerana kejohanan ini dilangsungkan secara dwitahunan – bukan 4 tahun sekali seperti kejohanan benua yang lain – juara kejohanan ini tidak akan layak ke Piala Konfederasi FIFA secara automatik.

Juara bertahan kejohanan ini adalah Mexico yang mengalahkan Jamaica 3-1 dalam final pada 26 Julai 2015 lepas.



3.0 Piala CONCACAF



Kejohanan ini adalah sebab mengapa juara Piala Emas CONCACAF tidak layak ke Piala Konfederasi FIFA secara automatik.

Kewujudan piala ini adalah selepas melihat pasukan Mexico terpaksa menyertai Piala Konfederasi FIFA 2013 di Brazil dan Piala Emas CONCACAF pada masa yang sama.

Oleh kerana itu, pasukan Mexico menyediakan pasukan yang lebih lemah pada Piala Emas ketika itu kerana ingin memberi saingan lebih baik di Piala Konfederasi FIFA.

Jeffery Webb, bekas Presiden CONCACAF berkata:

“Kami mahu memberi peluang yang adil buat juara-juara ini untuk mewakili zon CONCACAF di Piala Konfederasi.’

Dan kerana itulah Piala CONCACAF ini diwujudkan dan juara Piala Emas CONCACAF tidak diberi kelayakan automatik ke Piala Konfederasi FIFA.

Untuk edisi sulung yang berlangsung 10 Oktober 2015 lepas, juara Piala CONCACAF edisi 2013 dan 2015 bersaing untuk mendapat tempat selaku wakil CONCACAF pada Piala Konfederasi FIFA 2017.

Juara edisi 2013 iaitu Amerika Syarikat tewas 2-3 kepada juara edisi 2015 iaitu Mexico selepas masa tambahan.



Ini bermakna, Mexico akan mewakili zon CONCACAF di Piala Konfederasi FIFA pada 2017.

Namun begitu, sekiranya satu-satu negara tersebut menjuarai Piala Emas CONCACAF 2 edisi berturut-turut maka Piala CONCACAF tidak perlu diadakan.

4.0 Kesimpulan

Walaupun jurang bola sepaknya mungkin sedikit luas antara kuasa besar di zon Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean ini namun mereka tetap menyajikan suasana dan kualiti bola sepak yang menarik yang mungkin tidak ada di sudut lain di dunia.

Dalam artikel seterusnya kita akan mengembara ke Argentina untuk mendalami bagaimana mereka menguruskan liga dengan 30 pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN