Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kali ke-58 telah selesai dilangsungkan di Hilton, Petaling Jaya bersama 19 ahli gabungannya.
Dalam kongres tersebut telah dibentangkan perkembangan terkini setiap aktiviti, program serta kedudukan kewangan di bawah di bawah kendalian badan induk bola sepak negara itu selain pencapaian skuad kebangsaan.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang mempengerusikan kongres tersebut sempat berpuisi sebagai pengakhiran ucapannya yang diharapkan menjadi pedoman buat semua ahli gabungannya.
Beliau tidak lain mengharapkan kesepakatan dan solidariti oleh semua pihak bagi menzahirkan kerja sebagai satu pasukan kerana FAM tentunya tidak mampu untuk bergerak sendirian dalam memastikan setiap program mampu dilaksanakan dengan jayanya.
Wahai rakanku
Langkah kecil yang dihayun sekarang
Akan menjadi langkah besar pada masa akan datang
Sebagaimana asal lahirmu kerdil,
Membesarlah menjadi insan cemerlang
Gemilang dalam kalangan manusia terbilang.
Wahai rakanku
Jadikan semalam sejarah yang penuh iktibar
Jadikan hari ini waktu yang tidak kau sendakan
Jadikan hari esok warisan tentang pengorbanan
Agar perjalanan hidup menjadi sempurna
Kelak bercahaya jalan yang dijana
Wahai rakanku
Jangan dihitung resah yang dalam
Jangan dihitung payah yang datang
Jangan dihitung gelisah yang panjang
Kerana semuanya adalah pemanis hidup
Menjadikan kita lebih kuat
Menjadikan kita lebih nekad,
Menjadikan kita kaya jiwa
Menjadikan kita lebih sempurna
Bola itu apa?
Bola itu semangat, cinta dan kasih sayang
Menyatukan kita dalam satu suara, satu sorakan
Bola itu apa?
Bola itu adalah pengorbanan, keringat, perit jerih, semangat pahlawan
Bola itu apa?
Bola itu adalah perjuangan Harimau Malaya taruhan terbilang
Negara bangsa dijungjung ditatang
Bola itu apa?
Bola itu adalah kita, bersama bersatu menggapai impian, Malaysiaku tercinta di persada kayangan.