Pengendali KL City, Bojan Hodak percaya skuadnya lebih agresif jika beraksi di Stadium KLFA, selepas mereka terikat tanpa jaringan menentang Perak FC, malam tadi.
Beraksi dalam perlawanan ke-15 Liga Super di Stadium Perak, KL City gagal meraih kemenangan pertama dalam dua aksi awal selepas liga kembali disambung hujung minggu lalu – mereka juga merekodkan tiga keputusan seri berturut-turut.
KL City diikat Selangor FC 1-1 pada hujung minggu lalu selain terikat 1-1 menentang UiTM FC dalam perlawanan terakhir sebelum liga berehat pada Mei. Ia juga merupakan keputusan seri ke-4 mereka dalam lima perlawanan terakhir liga sejak Mei lalu.
Adakah City Boys ada masalah prestasi? Menurut Bojan Hodak sebelum ini, dengan kemasukkan beberapa pemain baharu tempohari, skuadnya sudah bertambah baik.
Bojan Hodak Mahukan Hak 'Cakap Besar' Dalam Derbi Lembah Klang https://t.co/kAa4BEnSTG
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) July 24, 2021
Perubahan berani Bojan Hodak adalah meletakkan Romel Morales sebagai penyerang dan menyisihkan penyerang import baharu mereka, Kyrian Nwabueze kerana beliau telah mengalami kecederaan dalam aksi minggu lalu berdepan Selangor.
Beliau mengakui Romel Morales gagal menghadirkan ancaman kerana beliau bukanlah penyerang sejati. Jelasnya di sidang media, “Romel [Morales] bekerja keras tetapi dia bukanlah seorang penyerang, dia merupakan pemain di belakang penyerang.”
“Dia bekerja keras, mencipta peluang, berada di segenap tempat tetapi dia tidak berada di posisi sepatutnya di dalam kotak penalti. Jadi, itulah punca dia gagal menjaringkan gol,” jelas pengendali kelahiran Croatia berusia 50 tahun itu lanjut tentangnya.
Romel Morales diletak sebagai penyenag telah dibantu dua pemain sayap iaitu Hadin Azman dan pemain baharu yang menyertai mereka daripada Perak, J. Partiban.
Setakat ini, KL City hanya mempamerkan prestasi yang baik di gelanggang sendiri, namun di tempat lawan, mereka masih belum berjaya merekodkan sebarang kemenangan dalam lapan aksi – empat perlawanan seri dan kalah empat kali.
Berdepan Perak yang diulit masalah dalaman serta baru diratah Terengganu FC dengan lima gol, KL City dijangka akan menang buat kali pertama di tempat lawan.
Namun sebaliknya berlaku apabila mereka gagal meledak sebarang gol dan ini telah membuktikan mereka acapkali kurang berprestasi jika bermain di luar Kuala Lumpur.
Bakal berdepan Melaka United pada Sabtu di laman sendiri, Bojan Hodak berkata, “Kami akan berdepan Melaka United di laman sendiri dan di sana kami lebih menjadi serta agresif. Kami perlu buat perubahan dan bersedia untuknya.”
Selepas 15 perlawanan, KL City kekal gah di gelanggang sendiri dengan rekod tanpa kalah. Daripada tujuh perlawanan, mereka menang empat dan seri tiga kali.