Empat pemain daripada skuad bawah 19 tahun Malaysia yang dipilih untuk menyertai senarai akhir skuad Bawah 23 Tahun ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China ternyata telah mengembiarakan ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak.
Namun begitu, menurut Bojan, pemilihan empat pemain ini tidak bermakna mereka boleh mendabik dada atau cepat berasa puas hati.
Empat pemain berkenaan adalah Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shivan Pillay Asokan.
Bercakap kepada Berita Harian, Bojan Hodak berkata pemilihan itu tidak bermakna mereka sudah mencapai kemuncak dalam karier masing-masing.
“Saya gembira apabila mereka terpilih dalam senarai akhir 23 pemain. Pemilihan itu menunjukkan prestasi mereka semakin meningkat.
“Bagaimanapun, mereka tidak boleh berasa gembira dengan pemilihan itu sebaliknya perlu terus bekerja keras,” katanya.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee bakal menentang skuad kebangsaan Syria B-23 pada 5 Januari ini dalam aksi persahabatan terakhir sebelum membuka tirai sebenar menentang Iraq pada 10 Januari diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).
Bojan turut menganggap pemilihan empat pemain berkenaan boleh menjadi perkembangan baik buat skuad B-19 yang turut bersaing di pentas Asia pada Kejuaraan B-19 AFC di Indonesia dari 18 Oktober hingga 4 November ini.
Begitupun, Bojan mengingatkan pemainnya supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi dan menempatkan diri dalam kesebelasan utama.
“Mereka perlu terus berusaha dan cuba menempatkan diri dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Minggu lepas, Datuk Ong Kim Swee telah mengumumkan senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.
Daripada 26 pemain yang dibawa ke latihan pusat fasa kedua di Mokpo, Korea Selatan, tiga pemain telah digugurkan iaitu pemain pertahanan, Raphi Azizan Mariappen, 21, (PJ Rangers) serta dua pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Zamri, 22, (Perak) dan K Thivandaran, 18, (Pulau Pinang).
Kim Swee berkata 3 pemain ini tidak terpilih kerana mengalami masalah kecederaan lama dan tidak mempamerkan prestasi yang memuaskan sepanjang latihan pusat skuad itu.
“Ketiga-tiga pemain yang digugurkan ini dilihat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama. Namun mereka menunjukkan kesungguhan selama berada dalam pasukan ini.
“Mereka bertiga pulang ke tanah air tetapi masih perlu bersedia untuk ke China jika terdapat mana-mana pemain dalam senarai 23 pemain mengalami kecederaan sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 10 Januari,” katanya.
Sepanjang dua minggu fasa latihan pusat kedua di Mokpo, mereka telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan Korea Selatan yang menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Mokpo City FC pada 20 Disember (jaringan Syamer Kutty Abba), menewaskan Honam University 1-0 pada 22 Disember (jaringan Kogileswaran Raj) dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC pada 28 Disember (jaringan Safawi Rasid).