Bodric Dimitri mungkin bukan nama terkenal dalam kancah bola sepak Liga Perdana 2017 lagi. Tetapi selepas persembahan sempurnanya petang tadi ketika menentang JDT II, nama beliau akan menjadi sebutan.
Masuk sebagai pemain gantian pada minit 38′ selepas pasukannya ketinggalan 0-2, Dimitri bertanggungjawab menerbalikkan haluan dan dominasi perlawanan untuk memihak MISC-MIFA.
MISC-MIFA pada mulanya turun dengan formasi 4-5-1 dengan penyerang Michael Ijezie mengetuai jentera serangan.
Menentang JDT II yang merupakan pasukan pilihan, jelas sekali MISC-MIFA mahu menamatkan rentetan kekalahan ke-3 berturut-turut mereka dengan sistem permainan sebegini.
JDT II pula turun dengan sistem hibrid 4-3-3/4-2-3-1. Tiada Gabriel Guerra dan Azinee Taib dalam skuad. Sebaliknya Rozaimi Abd Rahman diberi kepercayaan untuk mengemudi serangan bersama D. Saarvindran dan Shafiq Shaharuddin.
JDT kuasai awal separuh masa pertama
Seperti yang dijangka, JDT II tak memerlukan jemputan untuk menyerang kubu MISC-MIFA sebaik wisel mula perlawanan ditiup.
Benteng pertahanan MISC-MIFA yang terdiri dari kuartet A. Puvanarajah (bek kanan), K. Premanathan, M. Youwarasan (bek tengah) dan V. Satheskumar (bek kiri) terpaksa berusaha keras untuk menangani kelincahan trio serangan JDT II.
Tetapi MISC-MIFA langsung tiada jawapan untuk menangani larian tanpa bola dan skil gelecekan Nicloas Fernandez dari jentera tengah JDT.
Kehadiran K. Nanthakumar sebagai defensive midfielder langsung tidak membantu MISC-MIFA menyelesaikan masalah ini. Maka tak hairanlah seawal minit 18′, JDT II sudah mendahului 1-0 hasil jaringan Nicolas Fernandez.
Pada minit 32′ kealpaan Premanathan dan Youwarasan menghadiahkan Rozaimi ruang dan masa yang cukup untuk menjaringkan gol ke-2 JDT II hasil hantaran jauh Alex Smith.
MISC-MIFA buat pertukaran taktikal
Menyedari pasukannya perlu bangkit, ketua jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Bodric Dimitri dan mengeluarkan K. Nanthakumar.
Ini bermakna MISC-MIFA beralih dari sistem 4-5-1 ke 4-4-2.
Pertukaran ini terus menjelmakan perubahan segera. Jika sebelum ini Samuel Caceres dan Amer Saidin hanya perlu berdepan Michael Ijezie dalam situasi 2v1. Kini mereka perlu berdepan dengan 2 penyerang dalam situasi 2v2.
Kegagalan Aikal Aidil memmbantu 2 pertahanan di belakangnya juga memburukkan keadaan.
Baru 2 minit dimasukkan, Dimitri membalas kepercayaan Joseph untuk menjaringkan gol pertama pasukannya.
Ketika perlawanan menuju ke rehat separuh masa pertama, Michael Ijizie menjaringkan gol penyamaan MISC-MIFA pada saat-saat terakhir separuh masa pertama.
MISC-MIFA 2. JDT II 2.
Dimitri mengganas
Masuk separuh masa kedua, JDT II cuba bangkit. Tempo hantaran mereka dipantaskan. Alex Smith pula semakin berani naik menyokong Nicolas Fernandez untuk menyerang.
Bagaimanapun strategi berisiko JDT II ini memakan diri sendiri.
Berpunca daripada kesilapan Shafiq Shaharuddin yang ‘menggentel’ bola, MISC-MIFA melancarkan serangan balas pantas yang disudahkan oleh Bodric Dimitri. Hanya 3 hantaran dari 3 pemain diperlukan oleh MISC-MIFA untuk menjaringkan gol tersebut.
7 minit kemudian, Dimitri sekali lagi mempunyai peluang menjaringkan gol. Tetapi percubaannya diselamat di atas garisan gol oleh Fandi Othman!
Dalam usaha mereka untuk mengubah keputusan, JDT II mengeluarkan Shafiq Shaharudin dan D. Saarvindran dan memasukkan Syazwan Andik dan Syahrul Azwari.
Usaha tersebut berjaya membuahkan hasil buat seketika apabila Nicolas Fernandez menyudahkan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 3-3.
Bagaimanapun kealpaan pemain tengah muda JDT II, Syafiq Heelmi menghadiahkan Dimitri satu lagi peluang gol. Peluang tersebut tak disia-siakan oleh penyerang itu.
Ketika perlawanan menuju penamat, Dimitri memanfaatkan clearance buruk Samuel Caceres pula untuk menjaringkan 4 gol peribadi dan memberi kemenangan mutlak MISC-MIFA.
Pemain terbaik perlawanan: Bodric Dimitri