Majlis pelancaran jersi Sarawak United baru-baru ini turut diserikan dengan pengumuman oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, & Sukan Sarawak, Datuk Karim Hamzah yang mengumumkan suntikan dana RM3.5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada musim ini.
Melalui laporan sebuah portal bebas SarawakCrocs, cek berjumlah RM3.5 juta itu telah pun diserahkan kepada pihak pengurusan FAS yang diterajui Presiden, Datuk Posa Majais beberapa hari yang lalu.
Perkongsian khabar gembira yang dikongsikan untuk bola sepak Sarawak oleh portal tersebut pantas mendapat perhatian bekas pemain Sarawak FA pada musim lalu, Bobby Gonzales.
“Alhamdulilah. Harap dapat lunas tunggakan gaji 2019,” ujar Bobby Gonzales melalui perkongsian di Facebook miliknya.
Bobby ketika dihubungi oleh wakil kami turut mengesahkan perkara tersebut.
“Benar, FAS masih lagi belum melunaskan bayaran sebulan setengah gaji kami,” ujar beliau.
Bobby turut mengesahkan hanya bekas pemain musim lalu seperti beliau dan beberapa pemain lain yang belum menerima bayaran penuh dari persatuan tersebut, dan berharap suntikan dana dari kerajaan negeri Sarawak ini boleh membenarkan pembayaran tersebut disegerakan.
Seorang lagi bekas pemain, Benedict Martin turut mengesahkan belum menerima bayaran gaji selama sebulan setengah dari FAS pada musim lalu.
“Ya, saya sudah bertanya kepada pihak pengurusan secara baik berkenaan tunggakan gaji ini namun tiada respon daripada pihak pengurusan,” kata Benedict kepada Semuanya BOLA.
“Ia seperti kami pula yang lebih-lebih menagih gaji yang sepatutnya adalah hak pemain. Sudah tentu dengan suntikan terkini dana ini, kami berharap tunggakan kami dapat dijelaskan dengan segera.”
Benedict kini tidak terikat bersama mana-mana pasukan dan sedang di dalam proses pemulihan dari kecederaan yang beliau alami. Malah beliau turut mengesahkan akan melakukan proses seterusnya iaitu dengan membawa kes kepada PFAM dan FAM untuk tindakan lanjut.
Bobby pula adalah pemain kelahiran Beaufort, Sabah ini mulai beraksi bersama Sarawak pada musim 2013, dan merupakan salah seorang skuad Bujang Senang yang mencatat rekod tanpa kalah ketika muncul juara Liga Perdana pada musim tersebut.
Selepas beberapa musim beraksi bersama beberapa pasukan lain seperti PDRM, Perak, Felda United dan PKNS FC sebelum ini, Bobby kemudiannya kembali menyarung jersi Sarawak pada musim 2018 dan 2019.
Untuk saingan Liga Malaysia 2020, Bobby kini telah diumumkan sebagai pemain pasukan Pulau Pinang.
Sarawak United pula adalah pasukan baharu yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan Liga Malaysia pada musim ini selepas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memiliki kepentingan di dalam Selangor United.
Pasukan asal, Sarawak FA yang pernah diwakili oleh Bobby pula kini beraksi di Liga M3 sebagai Sarawak United II.