Blackburn Rovers 1994/1995: Juara Yang Dilatih Dalglish, Diketuai Sherwood, Ditunjangi Gandingan SAS

Mendahului liga dengan 5 mata ketika saingan liga yang hanya berbaki 7 perlawanan, ramai peminat bola sepak Inggeris sudah mula menyamakan Leicester City dengan skuad Blackburn Rovers musim 1994/1995.

Kedua-duanya merupakan pasukan bukan pilihan. Kedua-duanya bermain dengan formasi klasik 4-4-2. Dan kedua-duanya mendahului liga ketika bulan Mac.

Sejarah Blackburn Rovers musim 1994/1995

Jika kita bandingkan skuad Leicester City dengan skuad Blackburn Rovers musim 1994/1995 dahulu, Blackburn sebenarnya mempunyai sedikit kelebihan berbanding Leicester.

Mereka mempunyai kelebihan dari segi kewangan pada waktu itu berbanding Leicester City hari ini.

Lahir di Blackburn, Lancashire, Jack Walker merupakan seorang usahawan berjaya yang fanatik menyokong Blackburn Rovers.

Pada Januari 1991, impian Walker untuk membeli kelab kesayangannya menjadi kenyataan. Tetapi Blackburn yang dibelinya pada ketika itu sedang bergelut dalam Division 2 (sekarang dipanggil Sky Bet Championship).

Blackburn menamatkan musim 1990/1991 dengan hanya menduduki tempat ke-19 daripada 24 pasukan.

Revolusi Blackburn di bawah Walker

Musim berikutnya iaitu pada musim 1991/1992, boleh dikatakan bermulanya kebangkitan Blackburn.

Jack Walker membawa masuk lagenda Liverpool, Kenny Daglish untuk mengepalai kebangkitan Blackburn selaku selaku pemain dan pengurus baru. Dalglish dilantik untuk menggantikan Don Mackay yang dipecat selepas beberapa perlawanan awal.

Tindakan Jack Walker mengambil Dalglish – pengurus terbaik tahunan sebanyak 3 kali ketika bersama Liverpool – membuahkan hasil.

Musim 1991/1992 Blackburn menduduki tangga ke-6 liga dan seterusnya memenangi play-off untuk dinaikkan ke Division 1.

Blackburn di Premier League

Pada musim 1992/1993 iaitu musim pertama Division 1 ditukar menjadi Premier League, Jack Walker membenarkan Dalglish untuk berbelanja besar.

Dalglish memanfaatkan kebebasan yang diberikan oleh Walker sepenuhnya dengan memecah rekod perpindahan British (£3.6 juta) pada ketika itu untuk mendapatkan penyerang muda Southampton, Alan Shearer.

Apa yang lebih mengagumkan adalah, Dalglish berjaya mendapatkan Shearer yang pada ketika itu turut sedang dirisik oleh Manchester United.

Dalam satu dokumentari, Shearer memberitahu punca beliau pergi ke Blackburn adalah kerana beliau tidak menerima panggilan kedua dari United. Sebaliknya United mengalihkan perhatian mereka kepada Eric Cantona sebagai alternatif.

Selain Shearer, Dalglish turut membawa masuk Tim Sherwood dan menjadikannya kapten Blackburn Rovers pada musim tersebut.

Musim 1992/1993 berakhir dengan Blackburn menduduki tangga ke-4 pada musim sulung Premier League, hanya beza 1 mata dengan pasukan tempat ke-3, Norwich City yang meraih slot ke UEFA Cup.

Bagi sebuah pasukan yang baru dipromosi ke liga teratas England seperti Blackburn, tempat ke-4 liga adalah pencapaian yang sangat bagus.

Dari pasukan sederhana kepada pencabar liga

Musim 1993/1994 merupakan musim paling signifikan dalam perjalanan kebangkitan Blackburn.

Jika pada musim sebelumnya Blackburn kehilangan Alan Shearer yang terpaksa berehat lama angkara kecederaan ACL, pada musim ini Shearer mula menunjukkan prestasi prolifiknya dengan meledak 31 gol untuk Blackburn.

Pada satu ketika di bulan April, Blackburn mengumpul jumlah mata yang sama dengan Manchester United yang berada di puncak liga.

Bagaimanapun Blackburn gagal menunjukkan konsistensi dalam 5 perlawanan terakhir liga di bulan Mei. Manchester United muncul juara liga manakala Blackburn terpaksa berpuas hati sekadar di tangga kedua liga.

Dari pencabar liga kepada juara liga

Dalam usaha mereka untuk menjadi juara liga, Blackburn Rovers berbelanja besar sekali lagi pada musim 1994/1995.

Kali ini pengurus Blackburn, Kenny Dalglish memecah 2 rekod:

  • rekod perpindahan termahal British dengan membayar £5 juta untuk mendapatkan penyerang muda Norwich City, Chris Sutton.
  • rekod perpindahan termahal British untuk penjaga gol dengan membayar £2.5 juta untuk penjaga gol Southampton, Tim Flowers.

Kehadiran Chris Sutton lantas menghasilkan gandingan serangan lagenda Premier League iaitu duo SAS (Shearer and Sutton); gandingan penyerang paling mahal di Britain pada ketika itu.

Apa yang menariknya ketika Premier League mula menyaksikan kebanjiran pemain bukan British, hampir semua kesebelasan utama Blackburn pada ketika ini adalah pemain keturunan British.

Kecuali bek kanan mereka, Henning Berg dari Norway.

Terkeluar awal dari saingan League Cup, FA Cup, dan UEFA Cup ternyata memberi kelebihan kepada Blackburn untuk fokus kepada saingan liga. Tetapi itu tak bermakna Blackburn mempunyai jalan mudah dalam liga.

Musim 1994/1995 diklasifikasikan sebagai antara musim paling mendebarkan dalam sejarah Premier League kerana penentuan kejuaraannya yang berlarutan sehingga ke perlawanan terakhir liga.

Perlawanan terakhir Blackburn adalah menentang kelab lama Dalglish, Liverpool di Anfield.

Blackburn turun menentang Liverpool dengan kelebihan 2 mata mengatasi Manchester United di tempat kedua. Mereka perlu menang. Seri atau kalah bukanlah satu pilihan.

Blackburn tewas kepada Liverpool 1-2 dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun bagai sudah tertulis di langit, Manchester United pula hanya sekadar seri 1-1 menentang West Ham. Keputusan ini mengesahkan kejuaraan Blackburn dan penantian 81 tahun mereka tanpa kejuaraan liga!

Perjalanan berbeza, karakter sama

Perlu diingat sebelum Blackburn Rovers menjadi juara liga, mereka sebenarnya telah diperhatikan oleh media sebagai pencabar kejuaraan liga berdasarkan rekod perbelanjaan dan prestasi mereka pada musim sebelumnya.

Leicester City pula bergelut di pertengahan liga pada musim lepas. Pembelian termahal mereka hanya memakan kos £7 juta untuk membawa masuk Shinji Okazaki.

Bagaimanapun, walaupun perjalanan mereka masing-masing berbeza, kedua-dua pasukan ini memiliki karakter yang sama – bekerja keras.

Tak mustahil Leicester City bakal menjadi juara liga pada musim ini jika kita nilai hanya berdasarkan karakter mereka sahaja.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Zulfo Mahadi, peminat EPL sejak era pertengahan 90-an. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].

Baca juga: England Lancarkan Liga Bola Sepak Eksklusif Hanya Untuk Lelaki Gemuk

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN