Black Tigers Menyinar Di China, Prospek Masa Depan Bolasepak Negara?

Bulan lalu, sekolah sukan dari Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian telah mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih gelaran naib juara Piala Remaja Gothia China untuk kategori B-14 di Shenyang, China.

Lebih mengagumkan, ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama buat para pemain Black Tigers. Mereka cemerlang daripada peringkat kumpulan sebelum tumpas 0-3 di perlawanan akhir kepada Japan League Juniors.

Telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu peringkat separuh akhir. Foto: Faqhri Sobri

Berikut merupakan pencapaian skuad kendalian Faqhri Sobri di China:

Peringkat Kumpulan

  • SMK Mutiara Impian 4-1 Sekolah Menengah Shenzen Cuiyuan (China)
  • SMK Mutiara Impian 15-0 Kelab Bolasepak Jiangsu Tuobo (China)
  • SMK Mutiara Impian 1-0 Fujian Haifan (China)
  • SMK Mutiara Impian 1-0 Kelab Bolasepak Box Hill (Australia)

Suku Akhir

  • SMK Mutiara Impian 4-0 Sekolah Sukan Shenyang (China)

Separuh Akhir

  • SMK Mutiara Impian 4-1 Chelsea Soccer School (Hong Kong)

Akhir

  • SMK Mutiara Impian 0-3 Japan League Juniors (Jepun)

Secara keseluruhannya sepanjang kejohanan ini, Black Tigers telah merekodkan 29 jaringan dan hanya bolos lima gol dari tujuh perlawanan dengan tiga daripadanya adalah ketika di pentas akhir.

Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat muda. Di peringkat Asean terutamanya, Malaysia adalah antara negara yang memiliki prospek muda yang baik selain kuasa besar, Thailand dan Vietnam.

Namun, setelah mereka mencapai tahap usia yang ‘matang’, negara seperti kehilangan sentuhan pemain-pemain muda tersebut. Di mana salahnya dan ke mana para pemain tersebut menghilang?

Sebagai contoh, antara pemain negara yang menyerlah di usia muda, namun gagal dalam menyelusuri karier di peringkat senior adalah Fadly Baharum, Irfan Fazail, Fandi Othman, Muslim Ahmad dan Thamil Arasu.

Kapten Harimau Muda satu masa dahulu, Irfan Fazail. Foto: Goal.com

Semuanya BOLA pernah mengeluarkan video senarai 8 ‘wonderkid’ Malaysia yang gagal menyerlah.

Ada beberapa perkara yang mungkin menjadi penyebab kepada kehilangan pemain-pemain ini seperti mencapai puncak terlalu awal, masalah kecederaan berpanjangan dan juga masalah disiplin.

Situasi begini juga berlaku di luar negara, namun kuantitinya boleh dikategorikan sebagai rendah. Walaupun pemain berpontensi tersebut gagal, akan ada bakat-bakat baharu yang muncul untuk mengambil tempat.

Antara pemain luar yang tidak mencapai potensi yang diramalkan ketika mereka di usia remaja adalah Ricardo Quaresma (Portugal), Michael Johnson (England), Robinho (Brazil) dan Alexandre Pato (Brazil).

Kisah Quaresma pernah kami kongsikan di artikel ini.

Semuanya BOLA telah merujuk kepada jurulatih SMK Mutiara Impian sendiri, iaitu Faqhri Sobri yang mula mengendalikan skuad Black Tigers pada November tahun lalu, untuk merungkai sedikit sebanyak mengenai bakat muda negara dan prospek masa depan.

Ketua Jurulatih Black Tigers, Faqhri Sobri. Foto: Faqhri Sobri.

Bagi Faqhri Sobri, beliau tidak bersetuju yang negara telah kehilangan ramai bakat muda yang berpotensi. Baginya setelah pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) oleh YB Khairy Jamaluddin, prestasi pemain-pemain muda negara kian menyerlah.

PPBN telah dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 10 April 2014 dengan diterajui oleh Lim Teong Kim sebagai Pengarah.

“Malaysia dalam landasan yang betul. Cuma pemain senior sahaja yang bergelut ketika ini. InsyaAllah, Malaysia akan memberi saingan yang kuat di peringkat Asia dalam beberapa tahun lagi,” ujar jurulatih berusia 33 tahun itu.

Skuad SMK Mutiara Impian meraikan kejayaan meraih kedudukan kedua. Foto: Faqhri Sobri

“Silapnya dahulu, hanya pasukan senior yang dihantar menyertai pertandingan antarabangsa. Kita mungkin lupa pembangunan mesti bermula daripada akar umbi. Kalau cakap tiada langsung pun salah, sebenarnya ia sangat kurang.

“Sepatutnya kita perlu perbanyakkan pusat latihan, memberi pendedahan kepada barisan jurulatih, memperbanyakkan prasarana bolasepak dan yang paling penting, tanamkan nilai-nilai kerohanian dalam pasukan,” jelasnya lagi.

Faqhri juga menyatakan pihak berwajib perlu memantapkan kembali liga bawah umur. Selain itu, baginya, pihak persatuan bolasepak perlu terlibat secara langsung dalam pembangunan bolasepak, bukan hanya mengharapkan pihak sekolah dalam membangunkan pasukan.

“Hakikatnya, semua pihak perlu bekerjasama,” tambahnya lagi yang kini telah memiliki lesen B AFC.

Barisan Pemain Sebelum Aksi Separuh Akhir Menentang Sekolah Sukan Shenyang. Foto: Faqhri Sobri

Bercakap mengenai kejayaan skuad kendaliannya, perkara yang diterapkan olehnya dari awal adalah, ‘hendak menang, kena menang dari awal’. Pemain perlu turun awal berlatih, pamer kesungguhan dalam aktiviti dan latihan yang dibuat serta menghormati satu sama lain.

“Saya sentiasa tegaskan kepada pemain untuk jaga disiplin walaupun di luar padang. Agama turut saya ambil berat, solat selalu saya tegur,” ulasnya lagi yang turut menyatakan skuad ini bermula sebagai ‘projek khas’ hasil kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah.

Ketika ditanya oleh Semuanya BOLA mengenai rancangan dan hala tuju skuad ini selepas ini, beliau berhasrat ingin membimbing dan melatih mereka sehingga berusia 17 tahun. Sasaran terdekat adalah untuk layak ke separuh akhir Liga KPM.

Faqhri Sobri mahu lihat majoriti pemain ini akan bersama skuad Belia Pulau Pinang. Foto: Faqhri Sobri

“Saya berharap majoriti pemain skuad ini akan bermain untuk skuad belia Pulau Pinang dalam 5 tahun akan datang.

Malahan ada seorang, dua pemain yang mungkin berpotensi untuk mewakili skuad negara,” ujarnya lagi sambil mengharapkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) atau organisasi yang mempunyai kewangan yang kukuh dapat mengambil inisiatif memberikan suntikan kewangan untuk pendedahan dan pembangunan skuad ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN