Pemain naturalisasi Indonesia, Elkan Baggott kini bersedia untuk menjulang nama Indonesia di kejohanan Piala AFF 2020.
Pemain dari Ipswich Town itu, Elkan berkata sasaran beliau adalah mudah iaitu untuk memberikan kejuaraan Asia Tenggara yang sulung kepada negara itu.
“Untuk menang, semestinya untuk menjadi juara,” jawab Elkan ringkas kepada media.
“Semestinya kami ke sana [Singapura] adalah untuk menjadi juara dan bukannya sekadar menyertai pertandingan.”
Elkan jelas sekali begitu teruja untuk menyertai timnas Indonesia dan beliau cukup gembira apabila amat dialu-alukan kehadirannya oleh penyokong Garuda.
“Jika nak dibandingkan dengan di England, sokongan penyokong di sini cukup gila.”
“Mereka menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan pengalaman ini cukup gila. Saya amat hargai dapat diberi kesempatan untuk bermain di sini.”
SIapakah Elkan Baggott?
Elkan Baggott adalah pemain muda naturalisasi Indonesia yang kini sedang bermain di EFL League 1 bersama-sama Ipswich Town.
Baru berusia 19 tahun, pemain yang mempunyai ketinggian 1.94 meter ini beraksi di bahagian tengah.
Apa yang menarik mengenai Elkan adalah beliau sebenarnya boleh bermain untuk satu lagi seteru Asia Tenggara iaitu Thailand.
Hal ini kerana, Elkan dilahirkan di Bangkok, Thailand tetapi memilih untuk mewakili Indonesia disebabkan ibunya.
Elkan dibesarkan di England kepada ibu berdarah Indonesia serta bapa berketurunan Inggeris.
Sebelum ini, beliau pernah bermain untuk skuad remaja Indonesia sebanyak dua kali.