Piala Dunia B-20 2017 sudah berakhir secara rasminya semalam. England menjulang kejuaraan sulung dalam kejohanan ini. Namun persoalan muncul siapakah bintang yang boleh diketengahkan ke pasukan senior.
Kami memilih beberapa pemain yang menyinar semasa kejohanan.
1. Riccardo Orsolini
Penjaring terbanyak kejohanan ini mencuri tumpuan sewaktu kejohanan berlangsung. Beliau tulah menjaringkan 5 gol sepanjang perlawanan.
Juventus sudah mendapatkan khidmat Riccardo untuk musim hadapan dari Ascoli.
Bakal penyerang Itali pada masa hadapan?
2. Alessandro Plizzari
Rakan sepasukan Riccardo Orsolini itu telah menyelamatkan dua sepakan penalti semasa kejohanan berlangsung.
Penjaga gol AC Milan itu membantu Itali meraih tempat ketiga dalam saingan Piala Dunia Bawah-20 kali ini.
3. Ademola Lookman
Bekas pemain Charlton Athletic ini menjaringkan 3 gol untuk menjadi anggota penting kemenangan England dalam Piala Belia Dunia kali ini.
Pemain ini mulai mendapat tempat dalam beberapa perlawanan EPL di Everton musim lalu.
Tahukah anda, Lookman dan Dominic Solanke sebenarnya boleh dipanggil untuk skuad senior Nigeria. Namun, Ademola telah menolak panggilan Super Eagles itu.
Aduh, kalau England terlepas mereka berdua pasti perit buat penyokong mereka!
4. Dominic Solanke
Penyerang prolifik dalam kem England kali ini dengan 4 gol. Pemain ini dilepaskan oleh Chelsea ke Liverpool pada awal pintu perpindahan lalu.
Maka tidak hairanlah beberpa penyokong Chelsea agak sedih dengan pemergian pemain muda ini.
5. Jean-Kevin Augustin
Pemain hadapan Perancis ini juga menjaringkan 4 gol semasa kejohanan ini. Pemain Paris St. Germain ini boleh dipertimbangkan untuk menggalas harapan Perancis dalam beberapa tahun lagi.
6. Fashion Sakala
Jangan ketawa apabila mendengar namanya! Pemain Spartak Moscow ini menyinar bersama skuad Zambia.
4 gol dijaringkan untuk Zambia namun mereka tersekat ke suku akhir. Dengan bergayanya, beliau menjaringkan 1 gol ketika mengejutkan Jerman dalam 16 terbaik.
Malah, beliau juga menjaringkan 1 gol ketika menentang Itali sewaktu suku akhir.
7. Josh Sargent
Kelab Major League Soccer pasti akan berebut untuk mendapatkan bintang negara Uncle Sam. Beliau kini berumur 17.
Ia boleh dianggap prospek masa depan skuad Amerika Syarikat. 4 gol beliau telah jaringkan dan kesemuanya dalam saingan Kumpulan F. Sekurangnya, sudah ada satu nama untuk kejohanan sama pada 2019!
8. Sergio Cordova
Pemain Venezuela menjadi watak penting kemaraan mereka ke final kali ini. Kesemua 4 gol tersebut dijaringkan dalam saingan kumpulan.
Pemain Caracas di liga Venezuela boleh dipertimbangkan untuk berhijrah ke Eropah. Barangkali Venezuela sudah ada ramuan untuk menamatkan gelak tawa kejiranan Amerika Selatan terhadap mereka.
Ya, Venezuela tidak pernah ke Piala Dunia!
9. Adalberto Penaranda
Beliau menjadi antara bakat muda yang paling mendapat perhatian kejohanan kali ini. Menjadi instrumen penting Venezuela untuk mara sehingga ke final. Menjaringkan 2 gol dalam kejohanan ini.
Malang sekali apabila beliau gagal menjaringkan gol dari sepakan penalti ketika final menentang England.
Penaranda adalah pemain Watford yang masih belum bermain sebarang perlawanan senior dengan kelab tersebut. Banyak menghabiskan masa dipinjam ke Malaga, Udinese dan Granada.
Nampaknya, selepas ini, Watford dalam bahaya untuk kehilangan pemain ini jika berterusan tidak memberikan perhatian lebih lagi kepada pemain ini.
Senarai lain
Rasanya tidak salah untuk mengiktiraf pemain-pemain ini:
Freddie Woodman (England), Ritsu Doan (Jepun), Diogo Goncalves (Portugal), Reza Shekari (Iran), Bong Kalo (Vanuatu),
Konklusi
Sebenarnya penulis fikir, adakah ada pasukan dari liga kita memantau bakat-bakat muda dari negara bertanding dalam saingan Piala Dunia Bawah-20 ini?
Tidak perlu memilih negara yang terkenal, penulis pasti dalam setiap negara (walaupun yang tersingkir awal) mempunyai paling kurang satu permata yang boleh digilap.
Bak kata peribahasa, belakang parang diasah lagikan tajam!