Bintang Muda Kedah Mahu Buktikan Sesuatu Positif Buat Penyokong Sang Kenari

Pertahanan muda Kedah Darul Aman (Kedah), Kamil Akmal memasang tekad untuk membuktikan sesuatu yang positif buat penyokong Sang Kenari pada baki persaingan liga serta saingan bakal dihadapi mereka musim ini.

Kamil bukan lagi satu nama asing dalam kalangan penyokong bola sepak Kedah, selepas aksinya mula menjadi perhatian ramai sewaktu mewakili pasukan tersebut sejak musim lalu.

Tampil dengan disiplin pertahanan cukup baik, Kamil juga memiliki kelebihan untuk membantu serangan Sang Kenari menerusi kelincahan beliau serta bijak membuat umpanan dalam petak penalti.

Namun, musim ini segalanya tampak sedikit sukar buat Kamil selepas momentum semasa pemain ini disekat seketika akibat isu kecederaan telah dialami sehingga menyebabkan dirinya tersisih dalam beberapa perlawanan.

Disebabkan isu kecederaan itu, Kamil lebih banyak memerhatikan rakan sepasukan lain beraksi dan kini beliau sudah pun sembuh serta kembali diberi peluang oleh Nafuzi Zain untuk membuktikan sesuatu di atas padang.

Jelas pemain berusia 24 tahun itu, beliau nekad untuk kembali mencapai tahap terbaik di atas padang supaya dapat membantu Sang Kenari pada baki saingan Liga Super serta kejohanan Challenge Cup tidak lama lagi.

“Sebaik pulih dari kecederaan paha yang saya alami sebelum ini, saya terus memasang tekad untuk mendapatkan kembali rentak permainan terbaik yang pernah capai sebelum ini.

“Impian saya kini adalah bersedia kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan untuk mencapai tahap itu saya perlu tingkatkan lagi tahap permainan saya.

“Saya anggap aksi dan rentak permainan yang cukup laju ketika kami menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari itu adalah salah satu permulaan yang baik bagi kembali mendapat momentum permainan,” katanya menerusi Harian Metro.

Kamil kembali beraksi dengan momentum yang baik ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas beliau dibawa masuk selaku pemain gantian di posisi pertahanan kiri.

Pada aksi tersebut, beberapa kali aksi pemain muda Kedah itu berjaya menyerap asakan bertali arus dilancarkan oleh JDT dan bergandingan dengan sangat positif bersama barisan pertahanan lain.

Untuk aksi Challenge Cup yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan membabitkan pasukan diwakilinya menentang Kuching City, Kamil mahu membuktikan sesuatu positif buat para penyokong setia Hijau Kuning.

“Untuk aksi Piala Cabaran ini saya anggap ia satu peluang baharu yang perlu kami manfaatkan bagi memburu piala pada musim ini kerana kami sudah terlepas aksi Piala Malaysia.

“Tempoh rehat Liga M yang berlangsung buat masa ini adalah ruang terbaik untuk saya terus memperkemaskan tahap permainan melalui panduan yang diberikan barisan kejurulatihan.

“Kami mahu buktikan kepada penyokong bahawa pasukan Kedah tetap memiliki tahap terbaiknya pada saingan musim ini dan pastinya kami mahu tampil dengan aksi yang diharapkan,” katanya akhir sekali.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN