Bintang muda Indonesia, Marselino Ferdinan mengakui prestasi dirinya kini semakin meningkat selepas berkelana di Belgium selama setahun untuk mengembangkan karier beliau dalam dunia bola sepak profesional.
Pada usia baru mencecah 19 tahun, Ferdinan menjadi antara pemain bintang muda yang kini semakin mendapat tumpuan di Asia Tenggara ekoran prestasinya begitu cemerlang.
Ketika ini, Ferdinan mewakili KMSK Deinze di Belgium untuk saingan divisyen kedua yang diberi nama Challenger Pro League dan sudah pun beraksi hampir setahun sejak pemindahan beliau daripada Persebaya Surabaya.
Walaupun sukar mendapat peluang beraksi bersama pasukan tersebut serta lebih kerap memanaskan bangku simpanan, bintang muda Indonesia itu mengakui prestasi dirinya semakin berkembang.
“Kini saya sudah berada di Belgium bersama KMSK Deinze selama satu tahun, apa saya dapat rasakan prestasi serta skil saya semakin meningkat dengan begitu baik.
“Walaupun kadangkala saya rasa sukar untuk dipercayai apabila gagal menembusi diri sebagai antara calon utama pasukan, saya kembali sedar perbezaan jurang bola sepak di Belgium jika dibandingkan bersama Indonesia.
“Ketika ini, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan otot saya dapat dibentuk lebih baik sehingga mampu menjadi antara pilihan utama buat pasukan,” jelas Marselino menerusi CNN Indonesia.
Untuk saingan seterusnya, KMSK Deinze bakal menghadapi Patro Eisden bagi saingan Challenger Pro League pada hari Sabtu ini dalam misi Marselino bersama rakan sepasukan lain untuk mendapatkan mata.
Sehingga kini, pemain tersebut sudah pun diberi peluang beraksi sebanyak lima kali dan sudah pun mencatat satu jaringan buat pasukan itu di Belgium.
Prestasi positif yang ditampilkan oleh Marselino juga sudah dibuktikan bersama skuad senior Indonesia dalam saingan Piala Asia 2023 baru-baru ini, apabila beliau sudah meledak satu gol di Qatar.
Berperanan selaku pemain tengah serangan, dijangka Marselino akan terus mendapat kepercayaan penuh Shin Tae-yong untuk menjadi sebahagian daripada percaturan penting taktikal pengendali tersebut.
Malah, pemain ini juga berkemungkinan besar akan terpilih bersama skuad bawah 23 (B-23) Indonesia untuk aksi Piala Asia B-23 di Qatar yang akan berlangsung tidak beberapa bulan sahaja lagi.
Pengalaman serta kualiti dimiliki pemain tersebut bakal menjadi aset penting buat Indonesia yang menyasarkan diri mereka untuk mendapat satu slot ke saingan Olimpik di Paris.