Aksi cemerlang yang ditampilkan pemain muda Chelsea, Billy Gilmour pada aksi pusingan kelima Piala FA bertemu Liverpool pada awal bulan Mac lalu telah mencuri tumpuan banyak pihak.
Ketenangannya dalam mengemudi jentera tengah Chelsea pada perlawanan tersebut juga membuatkan beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan yang menyaksikan Chelsea menang 2-0 hasil jaringan Willian dan Ross Barkley.
Sehubungan dengan aksi bertenaga dipamerkan ketika berdepan salah sebuah pasukan terbaik di dunia pada ketika ini, Gilmour turut menegaskan bahawa kata-kata semangat dari pengurus Chelsea, Frank Lampard membuatkan beliau begitu selesa di atas padang.
”Menjelang perlawanan, saya sentiasa memikirkan apa yang akan saya lakukan di atas padang. Apabila pengurus [Frank Lampard] bercakap dengan saya, dia berkata, ‘pergi dan bermain dengan cara kamu sendiri’.”
”Itulah yang memberikan saya lebih keyakinan untuk turun beraksi dan melakukan apa yang saya suka ,”ujar Gilmour menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Bermain dalam perlawanan itu, ia merupakan antara bahagian yang saya rasakan sukar tetapi apabila saya mendapat bola, saya rasa sangat baik. Terdapat pemain yang berlari untuk menerima hantaran, jadi ia memudahkan saya.”
”Ia sangat hebat, satu perlawanan yang hebat dan saya berasa sangat gembira kerana dapat beraksi dengan baik, dan kemudiannya menjadi pemain terbaik perlawanan, ia sangat mengagumkan.”
‘”Saya menyukainya. Ia adalah pengalaman yang cukup hebat. Saya berharap untuk mengecapinya dengan lebih banyak [perlawanan] lagi.”
”Saya tidak pernah memikirkannya, saya hanya mahu beraksi dengan baik dan tidak mahu membuat sebarang kesilapan. Untuk mendapat peluang di kesebelasan utama berdepan Liverpool, yang merupakan pasukan terbaik di dunia pada ketika ini, saya merasakan sangat bagus,” ujar pemain berusia 19 tahun itu lagi.
Kredit foto: Jacques Feeney/MI News/NurPhoto