Aktiviti bersukan dilakukan untuk menyihatkan badan. Tetapi, bagaimana jika aktiviti tersebut mampu mengundang kanser ke dalam tubuh kita tanpa kita sedari?
Padang tiruan menyebabkan kanser?
Mungkin ia kedengaran pelik, namun terdapat cakap-cakap orang yang mendakwa bermain di padang tiruan boleh mengundang penyakit kanser.
Dan baru-baru ini, Environmental Protection Agency, the Center For Disease Control, dan U.S. Consumer Product Safety Division mengumumkan telah melancarkan kertas kajian untuk mengkaji hubungan padang tiruan dengan kanser.
Ini berikutan dakwaan bekas penjaga gol skuad wanita Amerika Syarikat, Amy Griffin yang mengatakan kebanyakan penjaga gol yang bermain di padang sintetik berisiko paling besar untuk menghidap kanser.
Mengapakah biji-biji getah ini dikatakan merbahaya?
Di Amerika Syarikat, padang tiruan jenis 3G yang dilengkapi dengan biji-biji getah kecil berwarna hitam ini berada di mana-mana. Di sekolah, universiti, kelab bola sepak dan akademi sukan.
Biasanya selepas bermain di atas padang tiruan jenis ini, biji-biji getah ini akan masuk ke dalam kasut pemain.
Ia juga mungkin kekal dalam kasut seseorang pemain bagi tempoh yang agak lama jika tidak dibersihkan dengan betul.
Biji-biji getah halus ini sebenarnya digunakan untuk membuatkan padang tiruan lebih selesa untuk dimainkan. Ia juga melindungi permukaan padang dan memberikan lebih cengkaman kepada pemain.
Masalah utama biji-biji getah ini adalah, ia dihasilkan dari tayar-tayar lama. Ini bermakna biji-biji getah ini mengandungi karsinogen – bahan kimia yang menyebabkan kanser.
Terdapat kajian yang telah dilakukan di makmal terhadap biji-biji getah ini.
Ujian tersebut mendapati biji-biji getah mengandungi bahan-bahan kimia yang dianggap karsinogenik (boleh menyebabkan kanser). Ia termasuklah merkuri, arsenik, cadmium, chromium dan plumbum.
Apabila cuaca panas, biji-biji getah ini boleh mengeluarkan bahan-bahan kimia yang boleh dihidu pemain. Ia juga boleh masuk ke bukaan luka, calar dan mulut pemain.
Pendapat yang mengatakan biji-biji getah ini selamat
Pada tahun 2006, FIFA telah menulis kenyataan rasmi di laman web mereka, mengatakan bahawa biji-biji getah tersebut tidak merbahaya.
Tetapi pada masa yang sama, FIFA tidak menampilkan kajian toksiologi yang mengatakan ia benar-benar selamat.
Agensi Perlidungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) pernah melakukan kajian di beberapa padang tiruan.
Bagaimanapun berdasarkan data yang mereka perolehi, mereka masih belum menjumpai bukti bahawa biji-biji getah ini merbahaya.
Pendapat yang mengatakan biji-biji getah ini merbahaya
Pada bulan November 2015, isu bahaya biji-biji getah ini kembali timbul. Amy Griffin, bekas penjaga gol wanita kebangsaan wanita Amerika Syarikat telah mengemukakan sebuah kajian yang mengejutkan.
6 tahun lalu, sewaktu melakukan lawatan ke sebuah pusat kanser kanak-kanak, Amy mendapat tahu bahawa pesakit kanser yang ditemuinya merupakan penjaga gol ke-5 yang disahkan menghidap kanser Hodgkins Lymphona.
Kelima-limanya dalam minggu yang sama.
Merasakan sesuatu yang tidak kena, Amy mula melakukan kajian dengan mengumpul maklumat dari pusat kanser Amerika Syarikat.
Kajian tersebut dilakukan dengan mengumpulkan satu senarai penghidap kenser yang merupakan atlet yang kerap bermain di atas padang sintetik.
Dari 200 orang atlet yang tersenarai, 150 orang daripadanya adalah pemain bola sepak. Daripada 150 pemain bola sepak itu pula, 95 daripadanya merupakan penjaga gol!
Masih tiada kepastian
Amy Griffin berpendapat penjaga gol – pemain yang akan paling banyak menyentuh biji-biji getah ini apabila luka, calar dan terbang menyelamatkan bola – berisiko paling tinggi menghidap kanser selepas bermain di padang tiruan.
Kesimpulan ini dibuat oleh Amy Griffin berdasarkan data yang dikumpulnya. Bagaimanapun kesimpulannya masih belum boleh diambil secara serius kerana datanya masih terlalu kecil dan bersifat anekdot.
Adakah kita perlu berhenti dari bermain di padang tiruan?
Pada pendapat kami, ia adalah pilihan individu.
Harus diingat bahawa walaupun biji-biji getah mungkin mengandungi bahan karsinogenik, masih tiada bukti saintifik yang menyokong kandungan karsinogen dalam biji-biji getah ini cukup besar untuk menyebabkan kanser.
Jika anda seorang pemain futsal tegar diatas padang tiruan seperti kami, ketahuilah bahawa risiko anda untuk mendapat ACL adalah lebih tinggi dari risiko anda mendapat kanser.
Sebagai ukuran, risiko anda untuk mendapat kanser daripada asap rokok, asap kenderaan dan asap dari kilang jauh lebih signifikan daripada biji-biji getah ini.
Jadi, selagi tiada hasil kajian yang benar-benar menyatakan bahawa biji-biji getah hitam ini berbahaya, kami mengesyorkan anda agar terus bermain.
Tips untuk meminimakan sentuhan secara langsung dengan biji-biji getah
Walaupun kami merasakan biji-biji getah ini selamat, namun jangan sesekali anda mengabaikan faktor kebersihan.
- Pastikan anda membasuh tangan anda sebersih-bersihnya selepas anda membersihkan tubuh anda dari biji-biji getah ini setiap kali anda bermain.
- Jika anda mempunyai luka, pastikan ia dibalut dengan sempurna. Lindungi kawasan luka dari sentuhan dengan biji-biji getah ini.
Dan akhir sekali, jangan sesekali makan/telan biji-biji getah ini!
Baca juga: Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih?