Selepas pelbagai berita kurang enak dan kontroversi melanda pasukan, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan akhirnya telah mengumumkan peletakan jawatannya.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu hantaran di akaun Facebook Bibi Ramjani Ilias Khan yang berbunyi:
”Saya Hajah Bibi Ramjani bt Ilias Khan selaku Presiden KAFA dengan ini melepaskan jawatan saya. Semoga KAFA maju jaya di bawah pengurusan baru. Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak pernah putus untuk menyokong Kelantan FA. Mohon maaf dari saya kepada semua sepanjang saya memimpin KAFA.”
Menurut sumber Utusan Malaysia, kedudukan Bibi selaku presiden tergugat selepas tujuh ahli gabungan KAFA berhasrat mengemukakan usul undi tidak percaya bagi memaksa beliau berundur sekaligus memberikan peluang kepada Kongres Luar Biasa (EGM) bagi memilih presiden baharu.
Bibi juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan supaya ahli gabungan tersebut mengemukakan calon yang sesuai bagi menggantikan beliau dan tidak perlu menggulingkannya.
Tinjauan yang dibuat pada hantaran tersebut, sebahagian besar penyokong mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa dicurahkan terhadap bola sepak Kelantan.
Ada juga segelintir yang memberikan komen nakal berbaur sindiran. Ketika artikel ini dikeluarkan, sudah lebih 250 pengguna Facebook telah mengongsikan ‘posting’ tersebut.
Bibi Ramjani dipilih sebagai Presiden KAFA bagi penggal 2017-2021 pada September 2017 selepas memperoleh 32 undi setelah menewaskan Muhammad Nasir pada Kongres Tahunan KAFA ke-63.