Berwajah baru bermakna ia akan tiba dengan nama baharu. Itulah tekad Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan akan perancangan beliau mengubah nama gelaran The Red Warriors yang sinonim dengan pasukan bola sepak Kelantan.
Tujuan penukaran tersebut adalah untuk memberi nafas baharu kepada sukan bola sepak di negeri pantai timur itu yang pernah menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni pada satu ketika dahulu.
Namun demikian, nama baharu tersebut belum lagi diputuskan. Presiden KAFA itu dipetik sebagai berkata:
“Saya berhasrat menggunakan nama yang mempunyai hubungkait dengan nama negeri ini.
“Saya yakin dan percaya nama baharu ini mampu memperkasakan lagi pasukan Kelantan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Gelaran The Red Warriors diperkenalkan ketika era Tan Sri Annuar Musa mengambil alih jawatan Presiden KAFA pada tahun 2008. Kelantan lebih sinonim dengan gelaran skuad Kijang sebelum itu.
Sambil mengharapkan pertukaran nama tersebut tidak mendapat bantahan daripada penyokong sedia ada The Red Warriors, Bibi Ramjani menjelaskan tujuan utama penukaran nama tersebut adalah salah satu langkah dan usaha beliau untuk melonjakkan kembali pasukan Kelantan sebagai kuasa utama bola sepak tanah air.
Presiden KAFA tersebut turut menjelaskan kujungannya ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kunjungan tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat untuk memperkasakan pentadbiran KAFA.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sentiasa diselebungi oleh kemelut pembayaran gaji dan pemain dan pegawai sepanjang musim ini. Kemelut tersebut turut menyebabkan pasukan Kelantan gagal menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak FMLLP untuk tujuan pengesahan dan melengkapkan pendaftaran.
Kegagalan pengurusan KAFA yang lalu berbuat demikian menyebabkan pasukan bola sepak Kelantan dipotong 3 mata di dalam Liga Super dan turut tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu sepanjang tempoh itu.
Bibi Ramjani Ilyas Khan adalah seorang usahawan dan pengasas kepada butik Desa Murni Batik Sdn Bhd.
Bibi Ramjani Ilias Khan dipilih menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2018 hingga 2021 selepas menewaskan seorang lagi calon Presiden yang juga Naib Presiden KAFA musim ini, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dalam Kongres Tahunan KAFA ke-63 di Kota Bharu, baru-baru ini.
Sumber:
1. Yatimin Abdullah, Utusan Malaysia Online (2017): The Red Warriors bakal terkubur; http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/the-red-warriors-bakal-terkubur-1.528918