Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menuding jari kepada Kelantan Red Warriors (KRW)-My Inspiration yang gagal melunaskan gaji bekas Pengarah Teknikal pasukan itu, Alfredo Gonzales sebagai punca Kelantan dihukum pemotongan tiga mata pada musim ini.
Bibi salahkan My Inspiration
Menurut beliau, KRW-My Inspiration sebelum ini telah bersetuju untuk melunaskan tunggakan gaji beberapa bekas pemain dan jurulatih berdasarkan tarikh yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Dipetik daripada Berita Harian, Bibi menjelaskan:
“Selepas KRW mengambil alih pada awal tahun ini, mereka bersetuju untuk membayar semua hutang yang ditanggung KAFA termasuklah tuntutan gaji Alfredo seperti yang diarahkan FIFA,” kata Bibi.
“Namun akibat kemelut gaji tertunggak melanda pasukan pada bulan Februari dan Mac, tuntutan gaji Alfredo yang sepatutnya dibayar juga turut tertunggak sehingga melebihi tarikh akhir.”
Kelantan tanggung akibat
Akibat kegagalan mematuhi tempoh pembayaran yang ditetapkan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan Kelantan untuk dipotong tiga mata – sekaligus menyebabkan pasukan pantai timur itu terjerumus ke kedudukan ke-10 Liga Premier.
Sebelum ini My Inspiration Sdn Bhd yang pernah tampil untuk membantu KAFA dalam urusan pentadbiran skuad Kelantan pada musim ini menarik diri dari kerjasama dengan persatuan tersebut berkuat kuasa serta merta.
My Inspiration adalah pemegang terbesar saham KRW Sdn Bhd – dengan 70% pegangan.
“Saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan apa yang saya amat harapkan supaya pemain jangan mudah patah semangat dengan tindakan ini,” tambah Bibi lagi mengulas situasi semasa yang melanda pasukan itu.
“Pemain perlu bangkit mencipta kemenangan dalam perlawanan seterusnya untuk mengembalikan kedudukan kita dan mencapai misi untuk kembali ke Liga Super musim hadapan,” katanya.