Pengendali skuad kebangsaan Bhutan, Trevor James Morgan yakin dengan kemampuan pemainnya untuk memberikan tentangan sengit kepada skuad Harimau Malaya apabila pasukan mereka dijadualkan bertemu untuk aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Beliau menyifatkan perlawanan malam ini menjadi medan terbaik untuk dia menguji kemampuan sebenar anak buahnya yang keseluruhan dibarisi pemain separuh profesional.
“Kami mahu fokus untuk meningkatkan prestasi semasa semua pemain kerana ini adalah peluang terbaik berbuat demikian. Untuk menjadi yang terbaik, kami perlu menentang pasukan yang lebih baik seperti Malaysia.
“Malaysia mempunyai kombinasi pemain muda dan senior yang baik dan sudah pasti akan memberi kesukaran kepada kami.
“Namun, pemain saya sudah bekerja keras sepanjang latihan dan kami akan cuba memberi tentangan sengit pada perlawanan esok,” katanya kepada Berita Harian ketika sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.
Bhutan yang berada di kedudukan ke-188 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) – 10 anak tangga di belakang Malaysia, dibarisi majoriti pemain muda dan separuh profesional.
Malah, mereka juga dijangka bakal menjadi lawan mudah buat Malaysia yang dibarisi keseluruhan pemain profesional.
Minggu lepas, skuad kendalian Tan Cheng Hoe gagal menewaskan Mongolia yang juga dibarisi oleh pemain separuh professional apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2.
Keputusan tersebut memanjangkan lagi rekod buruk skuad negara yang masih gagal meraih sebarang kemenangan sejak kali terakhir dilakukan ketika menang ke atas Kemboja 3-2 pada aksi Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada tahun 2016.
Adakah badi tanpa kemenangan akan ditamatkan malam ini? Sama-sama kita saksikan.