Bert Trautmann: Kisah Kental Penjaga Gol Nazi Yang Menjuarai Piala FA 1956

Kita pernah menyaksikan bagaimana kesungguhan pemain bola sepak meneruskan permainan walaupun ditimpa kecederaan. Adakalanya, mereka enggan keluar dari padang untuk membenarkan pertukaran pemain dilakukan oleh jurulatih pasukan masing-masing.

Mereka mengagahi kesakitan demi pasukan yang mereka wakili. Pada mereka, pasukan yang diwakili adalah segala-galanya, biarpun bermandikan darah sekali pun.

Di mata penyokong, mereka adalah hero. Bagi yang sudah lama mengikuti perkembangan bola sepak di seluruh dunia, anda pasti sinonim dengan gambar ikonik Giorgio Chellini, Paul Ince dan juga Terry Butcher yang beraksi dengan kesan darah dan balutan pada bahagian kepala akibat dari kecederaan.

Itu semua perkara biasa. Tetapi tahukah anda, satu masa dahulu seorang penjaga gol meneruskan perlawanan dan menjulang Piala FA Inggeris selepas mengalami kecederaan patah tulang leher?

Tentera Nazi-Luftwaffe

Lutwaffe adalah unit tentera udara askar Nazi yang digeruni ketika Perang Dunia ke-2. Juruterbang yang direkrut untuk menyertai Lutwaffe akan menjalani latihan khas secara rahsia di Pengkalan Udara Lipetsk.

Kepakaran yang dimiliki oleh Jerman pada ketika itu menjadikan Lutwaffe sebagai sebuah unit udara yang digeruni dari segi kepakaran perang dan juga teknologi untuk pertempuran di udara.

(Photo by Heinrich Hoffmann/ullstein bild via Getty Images)

Selain daripada juruterbang yang berkemahiran, Lutwaffe juga mempunyai unit infantri mereka tersendiri atau dikenali sebagai ‘paratrooper’.

Ketika Perang Dunia Ke-2, ‘paratrooper’ Lutwaffe turut dikenali sebagai ‘the green devils’ kerana kepakaran dan kekejaman mereka ketika melakukan operasi ala komando di kubu musuh.

Bert Trautmann

Salah seorang ahli ‘paratrooper’ Jerman pada ketika itu dikenali sebagai Bernhard Carl “Bert” Trautmann. Trautmann menyertai unit infantri Lutwaffe pada peringkat awal ketika Perang Dunia ke-2 meletus.

Sebagai salah seorang anggota Lutwaffe, Bert Trautmann berperang selama 3 tahun untuk tentera Jerman di wilayah timur. Keberanian Trautmann menyebabkan beliau dianugerahkan 5 pingat keberanian, termasuk sebutir pingat Iron Cross.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Bert Trautmann kemudiannya dipindahkan ke wilayah barat. Pada ketika itulah, Trautmann ditawan oleh tentera British dan menjadi tawanan perang.

Sebagai tawanan perang, karier bola sepak Trautmann bermula sebagai penjaga gol di kalangan ahli tawanan perang. Siapa sangka Trautmann ternyata memiliki bakat luar biasa sebagai penjaga gol.

Manchester City

Selepas Perang Dunia ke-2 tamat, Trautmann mengambil keputusan untuk kekal berada di England. Beliau bekerja sebagai seorang peladang di Milnthorpe dan bermain bola sepak peringkat amatur bersama St Helens Town.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Di situlah bakatnya semakin terserlah sehingga mencuri tumpuan Manchester City.

Pada 7 October 1949 Trautmann menyertai Manchester City sebagai seorang pemain amatur sebelum bertukar menjadi profesional sepenuhnya selepas itu.

Ketibaan Trautmann di Manchester dibantah oleh lebih 20,000 orang, kebanyakkannya oleh masyarakat Yahudi di England dan juga bekas tentera kerana penglibatan Trautmann sebagai askar Nazi pada Perang Dunia ke-2.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Bert Trautmann juga merupakan ahli sukan pertama di Britain yang memakai peralatan dan kelengkapan sukan jenama Adidas-produk keluaran Jerman.

Ini adalah kerana persahabatan di antara Trautmann dan juga pelopor kepada produk sukan terkenal daripada Jerman itu, Adolf Dassler.

Perlawanan Akhir Piala FA 1956

Pada musim 1955/56, Bert Trautmann sudah pun menjadi penjaga gol utama kelab Manchester tersebut. Musim tersebut turut menyaksikan Manchester City layak ke perlawanan akhir Piala FA menentang Birmingham di Wembley.

Minit ke-75 perlawanan, City selesa mendahului Birmingham dengan jaringan 3-1. Pada ketika itulah Trautmann menunjukkan kesungguhannya, menerjah keluar untuk memintas satu serangan balas Birmingham yang boleh mengakibatkan City hilang pendahuluan selesa.

MandatoryCredit: Allsport Hulton/Archive

Terjahan oleh Trautmann mengakibatkan beliau bertembung dengan penyerang Birmingham, Peter Murphy.

“Ia adalah seperti kemalangan dan pertembungan 2 buah keratapi,” jelas Trautmann mengenang kembali insiden tersebut.

Tiada pertukaran pemain dibenarkan pada era itu. Manchester City dan Trautmann hanya punyai 2 pilihan. Sama ada meneruskan perlawanan dengan 10 pemain, atau Trautmann meneruskan aksinya kembali.

Walaupun dengan kesakitan yang teramat sangat di bahagian leher, penjaga gol Jerman itu nekad meneruskan perlawanan.

Mandatory Credit: Allsport Hulton/Archive

“Saya rebah sebanyak 2 sehingga 3 kali dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan tersebut dan terpaksa menggunakan tangan kanan untuk memberikan sokongan kepada bahagian leher yang sakit,” jelas Trautmann.

Sambil menahan kesakitan, Trautmann berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya daripada Birmingham untuk memastikan pasukannya menjulang Piala FA pada musim tersebut.

Patah tulang leher

Ketika majlis penyampaian medal dan trofi, Putera Philip sempat bertanya kepada Trautmann, mengapa lehernya kelihatan bengkok?

15 tahun menetap di Britain sejak Perang Dunia ke-2, Trautmann menjawab dengan yakin tanpa pelat seorang Jerman: “Leher saya terkehel Tuan.”

. (Photo by PA Images via Getty Images)

Trautmann menyertai perarakan trofi Piala FA 1956 bersama rakan sepasukan yang lain walaupun tidak boleh menggerakkan lehernya dan hanya mendapatkan rawatan pada keesookan harinya.

Doktor sekadar mengesahkan ia kecederaan biasa dan kesakitan akan hilang selepas 2 hari. Masuk hari ke-3, Trautmann masih merasa kesakitan yang teramat sangat dan akhirnya berkunjung ke hospital untuk pemeriksaan susulan.

Hasil x-ray mendedahkan, 5 tulang vertebrata di bahagian leher Trautmann lari dari kedudukan asal, dan salah satu daripadanya patah.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Satu-satunya sebab yang tidak mengakibatkan lumpuh dan juga kematian terhadap Trautmann ialah kerana bahagian vertebrata yang lari dari kedudukan asal, telah menyokong bahagian tulang vertebrata yang patah itu daripada bergerak.

Bayangkan risiko yang diambil oleh Brett Trautmann pada ketika itu.

Bert Trautmann dalam kenangan

Bert Trautmann meninggal dunia di kediamannya di Sepanyol pada 19 Julai 2013, pada usia 89 tahun.

Piala FA 1956 adalah satu-satunya kejuaraan yang dimenangi oleh Trautmann bersama Manchester City. Beliau turut menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan daripada pihak media pada musim yang sama.

(Photo by Sawatzki/ullstein bild via Getty Images)

Beliau pulih daripada kecederaan lehernya dan terus beraksi bersama Manchester City sehingga 1964.

Kecederaan sehingga berlumuran darah? Bagaimana jika ia dibandingkan dengan patah tulang leher?

Sumber:

1. Tim Ellis, FFT (2017): 11 footballers who played through the pain barrier (and definitely, definitely shouldn’t have); https://www.fourfourtwo.com/features/11-footballers-who-played-through-pain-barrier-and-definitely-definitely-shouldnt-have?page=0%2C2#gFuPtT2MMtUS6TkI.99

2. BBC Sport (2013): Trautmann breaks neck in Cup final; http://www.bbc.com/sport/football/23372473

3. The Guardian (2013): Bert Trautmann dies, aged 89; https://www.theguardian.com/football/2013/jul/19/bert-trautmann-manchester-city-germany

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN