Penyerang lincah skuad kebangsaan, Safawi Rasid jelas mempamerkan sikap kesukanan tinggi bersama negara apabila beliau berjaya mempamerkan karakter tersebut ketika aksi menentang Brunei baru-baru ini dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Jumaat, 27 Mei 2022
MALAYSIA 🇲🇾 4-0 🇧🇳 BRUNEI
⚽️ Syafiq Ahmad 16' Syamer Kutty Abba 45' Faisal Halim 58' Guilherme de Paula 83' (P) #FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/UmZmPdFOqq
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 27, 2022
Ketika itu, beliau menyerahkan tugas mengambil sepakan penalti yang diperoleh skuad negara kepada penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula kerana menganggap pemain tersebut sudah lama tidak mencetak gol untuk pasukan kebangsaan.
Menerusi gol tersebut yang diledak de Paula, secara tidak langsung berjaya menaikkan moral kembali buat beliau untuk tampil beraksi lebih bagus dalam perlawanan selepas ini.
Walaupun Safawi ketika itu dilihat berpeluang cerah untuk menambah koleksi gol seterusnya bersama Malaysia, sikap beliau yang mementingkan kerjasama berpasukan berjaya menaikkan motivasi de Paula pada malam tersebut.
“Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol atau mengambil sepakan penalti, asalkan ia memberi kelebihan buat skuad negara.
“Sesiapa yang menjaringkan gol adalah bagus tetapi saya memberi peluang kepada De Paula kerana dia sudah lama tidak menjaringkan gol, jadi ia akan meningkatkan semangatnya.
“Sebelum senarai latihan berpusat keluar, saya berkata pada diri sendiri bahawa saya akan memberikan sepenuh usaha dan melakukan yang terbaik dalam membantu pasukan negara.
“Jika saya terpilih untuk senarai akhir 23 pemain, saya akan berikan yang terbaik sebagaimana saya lakukan pada 2019 (kelayakan pusingan akhir Piala Asia 2023 pada bulan Jun),” katanya menerusi Harian Metro.
📸 Sesi recovery selepas skuad Harimau Malaya menewaskan Brunei 4-0, malam tadi.
Lagi gambar di https://t.co/OoSGaPB38H#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/W2ltCorPc0
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 28, 2022
Dalam aksi tersebut, Malaysia tidak bermasalah untuk membenam cabaran Brunei apabila berjaya mencatat kemenangan 4-0 hasil jaringan Syafiq Ahmad, Syamer Kutty, Faisal Halim, dan de Paula serta tampil dengan corak permainan yang amat baik.
Dalam masa sama, Safawi juga jelas tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan beliau pada malam itu dan bakal memperbaikinya untuk perlawanan akan datang menentang Hong Kong.
“Mungkin dalam perlawanan atau pertandingan seterusnya (akan menjaringkan gol). Saya akan terus berusaha menjaringkan gol,” katanya.
Untuk rekod yang telah dicatat oleh Safawi, pemain tersebut kini sudah menghasilkan 15 gol sepanjang 36 penampilannya bersama skuad kebangsaan.
Selepas ini, Safawi dan rakan-rakan bakal menghadapi Hong Kong pula untuk aksi persahabatan seterusnya sebelum menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia menentang Turkmenistan, Bangladesh, dan Bahrain.