Kontrak pinjaman penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada Fortaleza di Brazil, Bergson da Silva nampaknya menuju ke penghujungnya, dijangka pada Jun depan.
Adakah kemenangan JDT dan jaringannya ketika berdepan Penang FC sebelum Liga Super berehat tempohari merupakan aksi terakhirnya? Setakat 11 penampilan dan 927 minit permainan, Bergson meledak 11 gol – dua gol di belakang Ifedayo Olusegun.
Ini menunjukkan kemampuannya untuk bergelar peledak utama JDT walaupun hanya tiba di saat akhir untuk bersama Harimau Selatan. Beliau mudah serasi dengan taktikal dan juga barisan pemain JDT selain dilihat selesa berada di Iskandar Puteri.
Malah, untuk rekod, beliau merupakan penyerang terpantas meledak 10 gol dalam 10 penampilan pertama bersama JDT sejak 2013. Bekas pemain, Juan Martin Lucero merupakan yang terbaik sebelum ini dengan 10 gol dalam 12 perlawanan pertamanya.
Jadi, adakah Bergson akan kekal di JDT apabila liga kembali bersambung pada Julai depan? Jika melihatkan kontraknya, beliau dijangka bakal meninggalkan pasukan.
Begitupun, pengendalinya, Benjamin Mora dalam sidang media selepas aksi berdepan Penang tempohari dilihat memberikan bayangan akan cuba mempertahankan Bergson di JDT. Namun, ia bergantung dengan perancangan pengurusan pasukan nanti.
“Bergson merupakan penjaring terbanyak JDT, dia hampir menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Dia amat penting buat saya dan sebagai jurulatih, saya sentiasa mahukan pemain seperti ini,” jelasnya mengenai status terkini Bergson.
“Tetapi ia terpulang kepada pihak pengurusan dan pengarah sukan serta pemilik kami. Mereka akan menentukannya, tetapi sudah pasti kami memerlukan Bergson kerana dia aset yang bagus buat saya dan kelab ini,” tambah Benjamin Mora lagi.
Jika gagal untuk menyambung kontrak pinjamannya, apa pula perancangan pihak JDT dengan pengendali pasukan nampaknya semakin selesa dengan impak sentuhannya?
Adakah kemasukkan Guilherme de Paula daripada Perak FC adalah penyelesaian kepada kehilangan kudrat penyerang berusia 30 tahun itu? Melihat ulasan Benjamin Mora, beliau melihat de Paula bukanlah penggantian terus kepada Bergson.
“[De Paula] memiliki gaya permainan yang berbeza dengan Bergson. Itu satu kelebihan apabila memiliki pemain yang berbeza gaya permainan. Ini memudahkan kami untuk merubah permainan bagi memenangi perlawanan dalam pertandingan,” jelasnya.
Bagaimana komen penyokong JDT? Adakah anda masih mahukan Bergson dalam skuad JDT sehingga ke hujung musim ini? Atau anda yakin akan ada pengantinya?
Baca lagi artikel lain mengenai Bergson dan Benjamin Mora:
Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Safiq Rahim & 2 ‘Aset’ Baharu
Benjamin Mora: Tiada Masalah Dalam Permainan, Cuma Kami Tidak Menang
Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Arif Aiman & Bergson da Silva