“Pasukan handalan Liga Malaysia” adalah kenyataan daripada wartawan Astro Arena tentang sebuah tawaran yang telah diterima oleh Soony Saad.
Penyerang Penang itu sedang meniti laluan kemasyhuran selepas meledak beberapa jaringan penting buat Harimau Kumbang sejak akhir-akhir ini.
Bari-baru ini, ledakannya pada minit ke-51 membantu mereka tundukkan Kuching City – aksi minggu ke-10 Liga Super dengan keputusan 2-1.
Dua golnya ketika berdepan PDRM dicipta ketika membantu Penang bangkit sebelum menundukkan lawan 4-2. Selepas 10 perlawanan, Soony Saad sudah meledak lima gol, ketiga terbanyak di carta penjaring terbanyak.
Ini mungkin menjadikannya sasaran pasukan lain saat jendela pendaftaran pemain dibuka nanti. Ini dikukuhkan dengan ciapan wartawan tersebut.
"I like to shoot, shooting is my game", Soony Saad, 5 Gol 9 Perlawanan. Difahamkan, dah dapat tawaran sebuah pasukan handalan Liga Malaysia.@ASTROARENA pic.twitter.com/QJ3Hxtr7Zz
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) April 28, 2023
Zulhelmi Zainal Azam berkata terdapat sebuah pasukan sudah membuat tawaran terhadapnya, mungkin untuk cuba mendapatkan khidmatnya.
Baru hanya beberapa bulan dan 10 perlawanan berlangsung, kelibatnya sudah mula menarik minat pasukan lain untuk dipancing keluar, di saat Penang semakin mendapat sentuhan dan prestasi terbaik daripadanya.
Beliau semakin mengancam ketika pasukan diambil alih sementara oleh Manzoor Azwira selepas ketiadaan Chong Yee Fatt yang sedang berehat.
Malah, berdasarkan statistik oleh Malaysian Football League (MFL), Soony Saad berada di kedudukan ketiga bilangan percubaan terbanyak dengan 29 percubaan dengan 14 daripadanya percubaan tepat – kedua tertinggi.
Berdasarkan ‘hint’ oleh wartawan tersebut, pasukan mana agaknya sudah membuat tawaran terhadap penyerang kelahiran Amerika Syarikat itu?
Berdasarkan situasi semasa, dua pasukan yang mungkin telah membuat tawaran adalah Terengganu dan Sri Pahang, bukanlah Johor Darul Ta’zim (JDT). Dua pasukan itu menepati ‘hint’ yang diberikan wartawan itu.
Terengganu merupakan pasukan handalan Liga Malaysia beberapa musim lalu di bawah kendalian Nafuzi Zain, sementara Sri Pahang pula sedang dalam prestasi terbaik pada musim ini – belum tewas selepas 10 aksi.
Kenapa Terengganu dan Sri Pahang? Ini mungkin antara faktor-faktornya.
Terengganu
Terengganu masih belum lagi mendapat prestasi yang diinginkan selepas melalui 10 perlawanan. Mereka berada di kedudukan ke-8 Liga Super 2023.
Dengan terdapat ura-ura pertukaran pengendali, situasi ini mungkin juga akan menjadikan rombakan pemain import realiti. Aidil Sharin sedang hangat dikaitkan untuk menjadi calon pengganti Tomislav Steinbruckner.
Malah, baru-baru ini, pertahanan import, Argzim Redzovic mengesahkan beliau hanya menanti pengesahan status kewarganegaraan Malaysia.
Liga Super: Argzim Redzovic tetap sabar tunggu impian bergelar pemain naturalisasi | Stadium Astro https://t.co/QCG4vBtLQ2
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) March 9, 2023
Ini menjadikan satu slot pemain import akan kembali terbuka untuk Soony Saad yang memiliki sentuhan berkesan berbanding rangkaian import sedia ada – Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Ivan Mamut dan Soony Norde.
Memiliki empat penyerang dalam senarai, tetapi hanya meledak 13 jaringan.
Sri Pahang
Sri Pahang pula sedang dalam prestasi terbaik, menduduki tangga ketiga Liga Super, berkongsi 22 mata dengan Selangor di kedudukan kedua.
Mereka menang empat perlawanan berturut-turut selepas melalui permulaan musim yang sedikit suram. Malah, mereka adalah pasukan kedua selepas JDT yang belum tewas dalam pentas liga musim ini.
Apa lagi yang tidak cukup? Penyerang yang dibawa masuk dari Penang musim ini masih lagi dirundung isu kecederaan dan belum bermain.
Ya, penyerang sensasi yang disambar dari Penang tempohari, Lucas Silva.
Penang Terbangkan Lucas Silva, Si ‘Kaki Emas’ Hong Kong Sebagai Pengganti Casagrandehttps://t.co/lG89DeCWZ0
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 27, 2022
Sejarah membuktikan mereka pernah memancing pemain terbaik Penang.
Jadi, tidak mustahil, mereka merupakan antara pasukan yang mungkin sudah menghantar tawaran terhadap Soony Saad untuk dipancing.
Menariknya, kouta pemain import mereka masih lagi berbaki satu saat ini.
Berdasarkan pemerhatian pembaca, pasukan mana lagi dilihat berpotensi memancing penyerang skuad kebangsaan Lubnan ini? Sila bincangkan.