Difahamkan Terengganu FC ingin membuat rombakan pemain import sebagai persediaan ke Piala AFC 2021. Namun, adakah ianya berbaloi untuk mereka?
Menurut wartawatan The Star, T. Avineshwaran, semua pemain import Terengganu tidak akan dilanjutkan kontrak mereka untuk saingan musim hadapan walaupun mereka cemerlang membantu skuad tersebut meraih tiket ke Piala AFC 2021 apabila menamatkan Liga Super musim ini di kedudukan ketiga, tempohari.
Ini termasuklah kapten, Lee Tuck, Babacar Diallo, Sanjar Shaakhmedov dan penyerang, Dominique da Sylva. Pemain sayap, Faris Ramli sebelum itu sudah mengumumkan meninggalkan pasukan untuk kembali ke Singapura. Satu tindakan yang agak mengejutkan apabila rombakan berlaku dengan prestasi pasukan sangat baik.
Difahamkan, pasukan Terengganu ingin menyusun semula kelab dengan beberapa pemain muda, dan juga mengurangkan kos kelab. Oleh itu, mereka mencari pemain asing yang lebih muda dan akan mempunyai satu atau dua orang yang berusia lebih dari 30 tahun.
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 17, 2020
Menurut kenyataan tersebut, “Difahamkan, pasukan Terengganu ingin menyusun semula kelab dengan beberapa pemain muda, dan juga mengurangkan kos kelab.”
“Selain itu, sebagai persediaan Piala AFC, mereka mencari pemain yang pernah bermain di pentas Asia. Jadi, nampaknya Lee Tuck akan meninggalkan kelab. Dominique, Babacar dan Faris telah meninggalkan kelab. Sanjaar telah ditawarkan pelanjutan tetapi dengan beberapa penyesuaian,” tambah Avisneshwaran lagi.
Antara pemain muda yang nampaknya akan terus kekal di Kuala Terengganu adalah penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang menunjukkan peningkatan prestasi sejak muncul sebagai penjaga gol utama pasukan. Selainnya, antara yang mungkin akan dikekalkan adalah Azam Azmi, Rahmat Makasuf dan Azalinullah Alias.
Itu merupakan antara pemain muda yang telah diberikan peluang untuk beraksi oleh pengendali, Nafuzi Zain untuk musim ini. Bek kiri, Arif Fadzillah yang dikhabarkan bakal berhijrah ke kelab di Lembah Klang juga nampaknya telah membuat pusingan U.
Menurut penganalisis bebas, Zuraimi Zukri, kekuatan Terengganu adalah pada pemain import mereka walaupun Nafuzi Zain gemar mengetengahkan pemain-pemain muda pada satu-satu ketika. Salah satu fakta kukuh kepada teori tersebut adalah, 20 daripada 24 gol mereka musim ini hadir menerusi pemain import.
Lee Tuck is giving himself another week for his future in Kuala Terengganu. The player has expressed his wish to stay on and is hopeful that the management would extend it. #MFLTransfer2021
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 16, 2020
Keserasian di antara pemain import dan tempatan Terengganu juga adalah kuncinya. Lee Tuck mungkin juga boleh dikekalkan walaupun sudah menjangkau usia 33 tahun, musim hadapan. Maestro mereka, Sanjar Shaakhmedov juga tidak boleh dinafikan sebagai kunci kecemerlangan mereka dalam saingan Liga M musim ini.
Adakah dengan menukar semua pemain import, mereka akan berjaya di pentas Asia? Ia memerlukan penelitian yang baik agar kesinambungan pasukan itu tidak terjejas. Pentas Asia bukanlah tempat untuk ujikaji lagi, mungkin disebabkan itulah mereka mahukan import yang memiliki pengalaman di saingan tersebut.
Berbaloi atau tidak, ia bergantung kepada kesesuaian pemain import yang bakal menyarung jersi Sang Penyu musim hadapan dengan gaya permainan mereka yang laju dan pantas serta memerlukan pemain yang boleh berada di mana-mana dengan cepat di atas padang. Hanya Nafuzi Zain ada jawapan kepada persoalan tersebut.
KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC
Baca lagi artikel lain mengenai Terengganu FC:
Khabar Dari Terengganu FC, Faris Ramli Antara Yang Pergi, Lee Tuck Belum Pasti
Statistik Ini Menunjukkan Impak Kehadiran Faris Ramli Buat Terengganu FC
Ultras Tranung ‘Tembak’ BOD Terengganu FC, Marzuki Sulong Sebagai ‘Kaki Ampu’