UNL: Sepanyol Mara Ke Pusingan Akhir Selepas Aibkan Jerman 6-0

Sepanyol Jerman UNL

Jerman mengalami kekalahan paling teruk dalam perlawanan kompetitif selepas dibelasah Sepanyol 6-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan A4 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) pada Selasa sekaligus gagal ke pusingan akhir.

Pemain sayap Manchester City, Ferran Torres muncul pemain Sepanyol pertama yang berjaya mencatat hatrik berdepan Jerman dan satu gol masing-masing daripada Alvaro Morata, Rodri dan Mikel Oyarzabal.

Sergio Ramos yang gagal menjaringkan dua sepakan penalti ketika perlawanan menentang Switzerland tempoh hari terus ditugaskan sebagai ketua pasukan dalam perlawanan ini.

Morata menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke-17 menerusi tandukan hasil dari sepakan penjuru sebelum sepakan voli Torres pada minit ke-33 menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah.

Enam minit kemudian Jerman sekali lagi bolos hasil dari sepakan penjuru apabila Rodri menanduk masuk gol ketiga Sepanyol untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

10 minit selepas rehat, Jose Gaya yang berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Manuel Neuer tidak mementingkan diri dengan membuat hantaran kepada Torres yang mudah menolak masuk gol keempat.

Torres melengkapkan hatriknya pada minit ke-71 selepas menerima hantaran Fabian sebelum Oyarzabal yang masuk sebagai gantian menutup malam gemilang skuad kendalian Luis Enrique itu dengan gol keenam pada penghujung perlawanan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Jerman menyamai rekod kekalahan terburuk mereka hampir 90 tahun lalu di mana mereka tewas dengan keputusan sama kepada Austria dalam satu perlawanan persahabatan.

Alvaro Morata yang ditemubual selepas perlawanan mengatakan keputusan tersebut akan mendiamkan mereka yang mengkritik Sepanyol selepas sekadar seri 1-1 dengan Switzerland pada Sabtu lalu.

“Ini peluang kami untuk menghantar mesej yang jelas kepada seluruh dunia dengan apa yang telah kami buktikan pada malam ini,”, kata penyerang Atletico Madrid tersebut.

Dengan kemenangan itu, Sepanyol menamatkan saingan di peringkat kumpulan selaku pendahulu dengan 11 mata dan akan menyertai Perancis untuk pusingan akhir yang akan berlangsung pada Oktober 2021.

Jerman yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara di tempat kedua dengan sembilan mata.

Dalam media sosial, penyokong Die Mannschaft mengutuk pendirian Joachim Low yang enggan memanggil semula tiga pemain senior iaitu Thomas Muller, Jerome Boateng dan Matt Hummels untuk menyertai skuad kebangsaan.

Saksikan sorotan perlawanan di antara Sepanyol dan Jerman di sini:

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Leave a Reply