Arena bola sepak tempatan kini ternanti-nanti sama ada Radamel Falcao akan benar-benar ‘mendarat’ di Malaysia selepas khabar angin semakin kecang mengaitkannya dengan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Spekulasi tersebut diperkuatkan lagi dengan komunikasi penyerang antarabangsa Colombia tersebut bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang saling membalas ciapan di Twitter.
“Jumpa anda tak lama lagi JDT31,” ciap TMJ yang disertakan dengan beberapa keping gambar bersama ejen pemain tersebut Morris Pangiello.
“Tak sabar nak jumpa anda,” balas Falcao yang menguatkan lagi tanda-tanda beliau bakal menyertai JDT tidak lama lagi.
Looking forward to seeing you… https://t.co/vgmmJVv7HE
— Radamel Falcao (@FALCAO) April 27, 2023
Berita mengenai penyerang berusia 37 tahun ini turut mendapat perhatian media Colombia, El Deportivo yang memetik laporan wartawan Felipe Sierra mendakwa Falcao bakal memuktamadkan masa depannya dengan perpindahan ke JDT pada jendela perpindahan musim panas ini.
“Masa depan Radamel Falcao Garcia (37) dan Johor, pasukan terbesar di Malaysia semakin hampir. Putera raja di negara itu mahukan penjaring terbanyak skuad kebangsaan Colombia dan mereka sedang mengusahakannya,” ujar Felipe Sierra.
Laporan sama turut mendedahkan Falcao bersetuju untuk memperkuatkan jentera serangan JDT dengan gaji bernilai USD 1 juta, atau bersamaan dengan RM4.45 juta selama semusim merangkumi pelbagai bayaran lain termasuk bonus.
Media Sepanyol, Marca sebelum ini pernah mendedahkan JDT telah menawarkan kontrak selama dua tahun untuk membawa penyerang itu ke Liga Malaysia pada musim ini.
Selain daripada beraksi untuk JDT, Falcao dilaporkan turut akan memainkan peranan sebagai duta kelab selatan tanah air itu untuk mempromosikan profil kelab ke peringkat dunia.
Falcao adalah pemain berprofil tinggi selepas JDT turut pernah menandatangani Pablo Aimar pada 2014. Sebelum ini penyerang berusia 37 tahun itu turut pernah menyarung jersi River Plate, Porto, Monaco, Manchester United, Chelsea, Atlético Madrid, Galatasaray dan Rayo Vallecano.