Analisis: Adakah Benteng Pertahanan Kedah Perlukan Angin Perubahan?

Tirai saingan unifi Liga Super 2018 telah berlabuh pada penghujung Julai yang lalu dan fokus majoriti pasukan ketika ini tertumpu kepada aksi unifi Piala Malaysia.

Kedah adalah antara pasukan elit yang dilihat agak merosot prestasi sepanjang musim ini dan Semuanya BOLA akan cuba menyelongkar isu ini berdasarkan statistik.

Statistik hanyalah angka dan mungkin dapat membantu dalam memberi gambaran kasar kepada kita tetapi ia tidak menggambarkan keseluruhan persembahan pasukan.

Walaupun pada awal dahulu segelintir penyokong Kedah menyatakan masalah adalah daripada penyerang, Pablo Pallares, namun isu sebenar adalah di blok pertahanan.

Pengurusan Kedah dan ketua jurulatih baharu yang bakal dilantik selepas ini mungkin boleh melihat isu ini dengan lebih mendalam sehinggalah penyelesaian dapat dicari.

Bolos meningkat sejak kembali ke Liga Super

Helang Merah merekodkan peningkatan bolos sejak 2016, selepas kembali beraksi di saingan Liga Super. Penambahan 10 gol berbanding pada 2016 iaitu 26 bolos.

Jentera serangan tetap merekodkan jumlah gol yang banyak dengan 37 gol terhasil, lebih 7 gol daripada musim pertama Kedah kembali ke saingan utama Liga Malaysia.

Liridon
FOTO: Sinar Harian

Pada 2016, ‘pool’ pertahanan Kedah agak besar dengan melibatkan 11 pemain dan ketua jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe jelas tiada masalah untuk penggiliran pemain.

Dua musim terkini menyaksikan jumlah tersebut mengecil kepada 8 orang walaupun Kedah sebenarnya memiliki bakat-bakat muda yang sepatutnya boleh diketengahkan.

Selain itu, musim ini juga menyaksikan hampir tiada pemain utama untuk mengisi posisi pertahanan, iaitu yang telah beraksi lebih daripada separuh aksi Liga Super 2018.

Hanya dua pemain iaitu kapten, Khairul Helmi Johari dan Rizal Ghazali melepasi angka dan jumlah tersebut berbanding dua musim sebelum ini iaitu 4 orang pemain.

Pertahanan tiada karakter?

Bukan meletak semua kesalahan ke atas pemain pertahanan kerana seperti kata lagenda Kedah, Marlon Alex James, bertahan adalah tanggungjawab keseluruhan pasukan.

Dalam temubual eksklusif bersama Semuanya BOLA baru-baru ini, Marlon menjelaskan yang kemungkinan para pemain tidak jelas dengan objektif pasukan musim ini.

Dengan kekurangan tonggak utama di benteng, kemungkinan masalah utama adalah karakter ‘juara’ di benteng gagal dibentuk dan menggangu prestasi keseluruhan pasukan.

Adakah Khairul Helmi sudah hilang kentalnya? Atau dia kehilangan gandingan yang betul-betul mampu membentuk gandingan ampuh di benteng Hijau Kuning?

Pada musim 2016, 4 pemain yang dikategorikan sebagai tonggak utama pertahanan adalah pemain import, Bang Seung-hwan, Azmeer Yusof, Khairul Helmi dan Rizal Ghazali.

Sementara pada musim 2017 pula, 4 pemain utama adalah Zac Anderson, Fitri Omar, Khairul Helmi dan Rizal Ghazali.

Adakah anda nampak corak dan pola tersebut?

Statistik pertahanan dalam perlawanan bolos 3 gol dan lebih

Kedah merekodkan bolos 3 gol dan lebih dalam 6 perlawanan dan ianya juga telah menyumbang kepada lebih separuh daripada jumlah bolos Kedah pada musim ini.

Daripada 36 bolos yang direkodkan, gawang Kedah telah dirobek 20 kali dalam enam perlawanan tersebut. Malah, ianya tidak melibatkan perlawanan dengan pasukan elit lain.

Berikut adalah enam perlawanan tersebut:

  • Perlawanan 2: Kedah 1-3 Perak
  • Perlawanan 4: Kedah 4-3 PKNS FC
  • Perlawanan 5: Kedah 3-4 Kuala Lumpur
  • Perlawanan 8: Kedah 3-3 Negeri Sembilan
  • Perlawanan 18: Kedah 1-4 Melaka United
  • Perlawanan 22: Kedah 1-3 PKNP FC

Daripada 8 pemain pertahanan, Khairul Helmi yang juga kapten, merupakan penyumbang tertinggi dengan purata 3.5 bolos daripada 4 perlawanan yang melibatkannya.

Kredit: Harian Metro

Kedua tertinggi dalam senarai tersebut dengan purata 3.33 bolos adalah pertahanan berusia 25 tahun, Syawal Nordin yang telah terlibat dalam 3 perlawanan sahaja.

Walaubagaimanapun, untuk berlaku adil, kita juga harus melihat dalam beberapa perlawanan lain di mana Helang Merah telah berjaya mencatatkan clean sheet.

Pertahanan yang terlibat dalam perlawanan yang tiada bolos

Menariknya, skuad Hijau Kuning telah merekodkan clean sheet dalam 6 perlawanan iaitu ketika menentang PKNP FC, Selangor, Pahang, Kelantan, PKNS FC dan Perak.

Ia menyamai jumlah perlawanan yang bolos 3 gol dan lebih! Jadi, siapakah pemain-pemain yang terlibat ketika Kedah berjaya mengekang lawan daripada merobek gawang?

Dua pemain yang terlibat dalam keenam-enam perlawanan tersebut adalah Khairul Helmi dan Rizal Ghazali. Mereka adalah tonggak utama, memang wajib tersenarai.

kredit foto: asiana.my

Paling mencuri tumpuan adalah kemunculan nama baharu iaitu Norfiqrie Talib sebagai pemain ketiga terbanyak terlibat, berbanding ketika bolos, dia hanya sekali terlibat.

Disamping itu, fakta yang mungkin tidak dapat disangkal adalah kecemerlangan penjaga gol baharu Kedah, Ramdhan Hamid yang telah merekodkan tiga clean sheet.

Jadi, dengan menyalahkan individu atau pemain tertentu sebagai penyebab kepada kekalahan besar juga nampaknya tidak releven apabila kita melihat statistik ini.

Tetapi, satu perkara yang tidak dapat disangkal dan perlu diperhatikan oleh pihak pengurusan adalah jumlah bolos adalah tinggi dan meningkat saban tahun.

Isu konsistensi

Samaada di laman sendiri ataupun lawan, prestasi Kedah dilihat tidak konsisten. Seharusnya, skuad Nidzam Adzha lebih ampuh di Stadium Darul Aman, namun itu tidak berlaku.

Kredit: Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah –

Kedah tewas 5 perlawanan yang dilangsungkan di Darul Aman, iaitu lebih banyak daripada jumlah mereka tumbang di gelanggang lawan iaitu sebanyak 4 kali.

Helang Merah juga gagal meneruskan prestasi baik sebagai contoh bermula pada perlawanan minggu ke-10, yang mana mereka menang 3 perlawanan berturut-turut.

Namun, pada minggu ke-13, mereka tumbang semula dua perlawanan berturut-turut. Momentum tanpa kalah Kedah dalam 7 perlawanan juga lebur dan gagal diteruskan.

Adakah Nidzam Adzha yang gagal membentuk skuad yang ampuh? Apa yang jelas, Kedah seperti gagal mengukuhkan pasukan terutamanya di posisi pertahanan kali ini.

Dan apabila pasukan yang dibentuk tidak betul-betul stabil, ia juga menyumbang kepada prestasi umpama yoyo sebagaimana yang dilalui Kedah pada musim lalu.

Serta harus diingat, Nidzam Adzha hanyalah pewaris kepada legasi sebelum itu iaitu Roman Marcote, sebagaimana musim 2017, dia juga menggantikan tempat Tan Cheng Hoe.

Penutup

Ketika ini, Kedah perlu melantik individu yang benar-benar mampu membentuk adunan daripada pemain senior dan muda sebagaimana yang Tan Cheng Hoe lakukan.

Masalah yang penulis nampak adalah pada musim 2017 dan 2018 berlaku transisi ketua jurulatih daripada Tan Cheng Hoe dan Roman Marcote kepada individu yang sama, Nidzam Adzha.

Mungkin konflik dalaman sebegini wajar dielakkan agar pembentukkan skuad yang lebih stabil tidak terjejas disamping kebijaksanaan ketua jurulatih mengatur perancangan.

Selain itu, rangkaian 4 pertahanan juga perlu diberikan perhatian dan dibaik pulih. Jika anda perasan, pertahanan tengah import dan kiri pada musim ini tidak cukup efisyen.

Dan jika perlu, mendapatkan pemain import berkualiti di benteng wajar dijadikan perkara utama musim hadapan. Setidak-tidaknya, cukuplah setanding Bang Seung-hwan.

Apa pula pendapat para pembaca? Sila kongsikan bersama kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN