Johor Darul Ta’zim (JDT) tercicir mata lagi apabila mereka terikat dengan keputusan 1-1 menentang KL City FC dalam aksi ke -11 Liga Super 2021, malam tadi.
Minggu lalu, mereka tewas mengejut kepada pencabar liga, Terengganu FC dengan keputusan 1-0 dan dua keputusan mengecewakan ini membantu pencabar-pencabar liga kembali mendekatkan jurang mata dengan juara tujuh kali Liga Super itu.
Kedah yang menang 3-1 ke atas Melaka United kini hanya dipisahkan satu mata, sementara Terengganu FC yang akan turun berdepan Penang FC pula dilihat berpeluang untuk menyamakan mata dengan JDT, berkongsi kedudukan teratas liga.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS11#LigaSuper2021 pic.twitter.com/anv0qEpYzd
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 30, 2021
Bermula baik di awal permainan, jaringan Romel Morales di hujung babak pertama menyentak pelawat apabila beliau berjaya melepasi perangkap offside seterusnya menghasilkan jaringan untuk tuan rumah masuk ke bilik persalinan dengan senyuman.
Dua kali percubaan JDT menerusi Gonzalo Cabrera dan Leandro Velazquez hanya singgah di palang serta tiang gol seolah-olah memberi petanda yang malam tadi bukanlah malam untuk Harimau Selatan kembali dengan kemenangan.
Ketika ditanya sama ada pasukannya ada masalah dalam permainan dalam dua aksi terkini, pengendali JDT, Benjamin Mora pantas menyanggah kenyataan tersebut.
“Setiap pasukan dalam dunia, ada masanya mereka terjatuh dalam sesuatu musim itu. Kami sudah berada di takhta untuk jangka masa yang panjang. Kami tidak boleh katakan yang kami adalah Superman kerana adakalanya kami juga akan kalah.
“Kami bermain dengan intensiti yang tinggi tetapi perlawanan ini agak tertutup. KL City bermain dengan sangat baik, mereka sangat kompak dan tersusun. Kami gagal untuk menjaringkan gol walaupun memiliki beberapa peluang,” jelasnya lagi.
Setelah mula menampilkan watak sebenarnya pada awal babak kedua dan mendapat beberapa peluang, JDT akhirnya beroleh gol penyamaan menerusi tandukan kapten, Hariss Harun yang menyambut sepakan penjuru Nazmi Faiz pada minit ke-55.
“Kami bermain dengan intensiti yang tinggi sebentar tadi. Saya tidak faham soalan anda mengenainya. Saya hormati pandangan anda dan betul, adakalanya kami terlepas kawalan bola, itulah bola sepak. Pada saya, tiada masalah permainan, cuma kami tidak menang,” tegas Benjamin Mora tentang prestasi skuad kendaliannya.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST
Baca lagi artikel lain mengenai Benjamin Mora dan JDT:
Menang Ke Atas Sri Pahang, Benjamin Mora Cuma Komen Tentang Rambut Safawi?
Kenapa Benjamin Mora Anggap Kemenangan Ke Atas PJ City Antara Aksi Terbaik JDT?
[VIDEO]: TMJ Lawat Bilik Persalinan Terengganu FC, Ucap Tahniah Tumbangkan JDT