Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora mempertahankan sumbangan Safawi Rasid, dan bertanggapan pemain itu telah memainkan peranan penting ketika JDT menerwaskan Suwon Bluewings di pertandingan Liga Juara-Juara AFC baru-baru ini.
Menurut Mora, kehadiran Safawi sering memberikan tekanan kepada pasukan lawan melalui lariannya di sbahagian sayap.
Malah Mora berpendapat hanya nasib yang menyebabkan Safawi gagal menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, setelah memperolehi beberapa peluang keemasan.
Berdasarkan laporan oleh Berita Harian semalam, Mora dipetik sebagai berkata: “Saya percaya Safawi akan bangkit menjaringkan gol jika dia kerap memiliki peluang ketika aksi menentang kelab dari Korea itu.
“Dia sudah beri yang terbaik malah dia juga pemain tempatan yang berkualiti,” kata Mora.
Kemenangan 2-1 ke atas wakil dari Korea Selatan itu bermakna JDT telah melonjakkan diri ke tangga kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC.
Pengendali dari Mexico itu turut berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya ini selepas sebelum itu tewas 5-1 kepada Vissel Kobe dalam perlawanan sulung yang lalu.
“Kita tahu Suwon pasukan yang hebat, jadi pemain tidak kerap memberi asakan sebaliknya menyusun gerakan di kawasan tengah dan apabila ada peluang barulah melancarkan serangan pantas yang memerangkap pasukan lawan,” tambah beliau.
“Saya ingin beritahu lagi, JDT tidak dibarisi pemain berstatus bintang dan pemain tahu tanggungjawab yang mereka harus lakukan apabila beraksi secara bertahan dan bertindak untuk menyerang apabila ada peluang.
“Ada dua atau tiga peluang yang boleh kita terjemahkan dengan jaringan tapi kurang berkesan.
“Namun pemain terus bekerja keras dan hasilnya gol menerusi sepakan penalti dan gerak susun menarik yang menghasilkan gol kemenangan,” katanya.