Benjamin Mora Masih Dapat Kepercayaan JDT

Benjamin Mora

Pada kebiasaannya, jika sesuatu pasukan itu mencatatkan tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan serta menduduki tangga teratas liga dengan 10 mata, ianya tentu boleh dianggap sebagai satu permulaan yang cukup baik.

Tetapi untuk pasukan ‘gergasi’ seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), ‘menang’ sahaja masih belum cukup untuk memuaskan hati semua pihak seperti, tetapi mereka menagih atau mengharapkan lebih daripada itu. 

Itulah ‘bebanan’ yang perlu ditanggung oleh seorang ketua jurulatih sebuah pasukan yang sarat dengan pemain bintang sehingga ada pihak yang mendakwa kedudukan pengendali JDT, Benjamin Mora sudah mula tergugat selepas pasukannya tidak mempamerkan corak permainan yang menarik dalam beberapa perlawanan Liga Super musim ini.

Pengarah Teknikal JDT, Alistart Edwards dalam kenyataannya yang disiarkan dalam media sosial rasmi kelab menjelaskan, pihak pengurusan The Southern Tigers masih memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih dari Mexico itu untuk terus membawa cabaran pasukan dalam mendominasi arena bola sepak tempatan.

“JDT berada di persada Liga Super Malaysia selepas empat perlawanan dengan mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan mengekalkan rekod tanpa kalah termasuk kemenangan ke atas Suwon Samsung Bluewings dalam Liga Juara-Juara AFC,” katanya.

Ada pendapat yang mengatakan JDT kurang menyerlah di saingan peringkat domestik kerana taktikal yang diterapkan oleh Mora sudah boleh ‘dibaca’ dan bukan lagi sesuatu yang unik.

Tetapi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pantas mempertahankan pasukannya dan menjelaskan pemain bukannya ‘mesin’. Beliau menegaskan pemain adalah manusia biasa yang merasai keletihan dengan jadual yang padat.

Dengan pengumuman penangguhan saingan Liga Malaysia selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), mungkin ianya adalah tempoh terbaik untuk Mora mencari idea dan taktikal baharu.

JDT hanya menang tipis dalam tiga perlawanan pertama ketika berdepan Kedah (1-0), UiTM (2-1) dan PDRM (1-0). Kemudian dalam perlawanan keempat tempoh hari, mereka dikejutkan dengan semangat luar biasa Felda United dan terikat 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim. 

Baca juga artikel kami yang lain mengenai JDT dan Benjamin Mora:

Leave a Reply