Mengakui situasi sedikit sukar pada babak pertama, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berkata yang juara tentunya mahu tamatkan musim dengan nota kemenangan. JDT menang selesa 5-0 ke atas Melaka United, malam tadi.
Babak pertama berkesudahan dengan keputusan terikat tanpa jaringan biarpun JDT beberapa kali mengancam kubu tuan rumah menerusi beberapa percubaan, namun ketangkasan Norazlan Razali dan benteng lawan menyukarkan Harimau Selatan.
Selain itu, mereka hanya berjaya mula menggempur gawang lawan selepas 15 minit perlawanan dan Norazlan Razali menafikan sekurang-kurangnya tiga percubaan boleh gol yang dilakukan oleh Gonzalo Cabrera sepanjang perlawanan berlangsung.
Namun, selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-70, barulah JDT berjaya menyumbat gol ke gawang lawan. Penalti tersebut telah disempurnakan oleh Leandro Velazquez dan bermula daripada detik itu, penjaga gol lawan itu telah mudah dibolosi.
Bercakap kepada media, Benjamin Mora berkata, “Babak pertama bukanlah mudah, Melaka bermain dengan sangat baik, walaupun mereka hanya bertahan di kawasan sendiri dan hanya menanti kami membuat kesilapan untuk membuat serangan balas.”
“Ruang juga sangat sedikit dan tidak cukup untuk kami membuat lebih baik kombinasi permainan, tetapi kami membuat pembetulan pada babak kedua dan ianya menjadi,” jelasnya sambil berkata pertukaran pemainnya juga membantu mereka untuk bangkit.
JDT dilihat telah mempertaruhkan Fernando Rodriguez di babak kedua dan pemain tersebut telah membantu mendapatkan penalti selain membuat bantuan gol dan juga meledak jaringan dalam debutnya bersama skuad utama Harimau Selatan.
Bekas pemain Kedah pada musim lalu itu sudah tentu tidak kekok untuk beraksi di saingan Liga Super walaupun sepanjang musim ini beliau hanya tampil bermain untuk JDT II di Liga Premier. Ianya debut yang baik oleh pemain berusia 33 tahun itu.
Benjamin Mora turut mengulas erti kemenangan buat mereka selepas sah bergelar juara Liga Super musim ini, “Kami tahu betapa pentingnya untuk menyudahkan peluang dan sang juara sentiasa mahu tamatkan musim dengan kemenangan.”
“Ianya normal [persembahan terjejas] apabila anda sudah menjadi juara dan tiada apa-apa lagi untuk dibuktikan. Tetapi bagi kami, kami mahu mencipta sejarah. Kami bukan sahaja mahukan kemenangan tetapi juga mencipta sejarah,” tambahnya lagi.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST