Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora gembira apabila mengetahui Perak kehilangan mata, bermakna mereka semakin menjarakkan diri di takhta liga.
Malam tadi, di Stadium Darul Makmur, JDT berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas Pahang, sementara pencabar terdekat mereka, Perak pula tumpas 0-1 kepada Melaka United dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
JDT semakin jarakkan kedududukan
Kemenangan malam tadi membolehkan JDT mengumpul 13 mata, lima mata di hadapan Perak di kedudukan kedua Liga Super Malaysia (MSL) 2020. Begitupun, Terengganu FC berpeluang merapatkan sedikit kedudukan malam nanti.
Bercakap di sidang media selepas perlawanan, Benjamin Mora tidak berselindung menyatakan kegembiraannya, “Kami juga dapat tahu keputusan [perlawanan] lain yang mana membuat kami dapat menjarakkan kedudukan [liga].”
Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu mendahului perlawanan tiga gol tanpa balas ketika Pahang tercari-cari rentak selepas membuat rombakan besar-besaran ke atas skuad mereka akibat kehilangan beberapa tonggak pasukan.
Mereka kehilangan sentuhan pertahanan tengah, Khalil Khamis dan S. Kumaahran selain beberapa pemain lain seperti Faisal Rosli yang mengalami kecederaan serta bintang sensasi, Mohamadou Sumareh yang dikatakan ‘hilang’.
Tidak mudah untuk kembali
JDT kemudian melepaskan dua gol kepada tuan rumah yang menyaksikan lawan merapatkan kedudukan. Mujur buat mereka, Pahang tidak dapat meneruskan kebangkitan mereka di seluruh babak kedua untuk memburu satu mata.
Namun, Benjamin Mora tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas lima bulan terperuk melakukan latihan sendiri di rumah yang menurutnya, ia satu saat sukar buat mana-mana pemain bola sepak di dunia.
“Tetapi ini hanyalah permulaan selepas lima atau enam bulan tanpa bermain dalam aksi kompetitif. Ia sangat sukar buat mana-mana pemain profesional untuk menahan keinginan dan berada di rumah. Tidak mudah buat mereka untuk kembali.
“Sudah tentu ianya satu keputusan yang sangat baik buat kami, sentiasa meraih tiga mata. Saya sangat berpuas hati. Kami bermain dengan baik. Saya rasa kami mengawal hampir keseluruhan perlawanan,” ujar lanjut Benjamin Mora.
Penutup
Pengendali asal Mexico itu turut mendedahkan beliau sedar akan kelemahan mereka selepas mendahului selesa perlawanan, para pemain hilang sedikit fokus mereka.
Malam ini, Terengganu FC berpeluang mendekatkan jurang mata apabila dijadualkan akan turun menentang Sabah di Kuala Terengganu. Terengganu FC baru sahaja menewaskan PJ City FC dalam aksi ke-4 MSL 2020 minggu lalu.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST