Pengurus Newcastle United, Rafa Benitez melihat bekas pasukan bimbingannya, Chelsea bakal menjadi sebagai antara pesaing buat Manchester City dalam merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Benitez yang pernah membimbing Chelsea pada November 2012 sebagai pengendali sementara berjaya membawa kelab London itu menjuarai Liga Europa serta menamatkan saingan musim tersebut di tempat ketiga.
Beliau yang kini di St James’s Park bakal menanti kunjungan Chelsea pada perlawanan ketiga saingan liga yang berlangsung jam 11 malam esok.
Menurut sumber Sky Sports, ketika ditanya sama ada Chelsea mampu untuk menjuarai saingan musim ini, pengurus dari Sepanyol itu yakin dengan keupayaan The Blues.
”Saya fikir begitu (untuk menjuarai liga).”
”Mungkin pada ketika ini, terdapat tiga pasukan yang anda boleh katakan mempunyai sedikit kelebihan berbanding pasukan lain.”
Dalam pada itu, Benitez tidak menolak kemungkinan satu lagi bekas kelab bimbingannya iaitu Liverpool untuk turut menjadi pesaing musim ini.
”Bagi saya, Chelsea, Liverpool dan Manchester City kerana mereka tahap mereka, persembahan musim lalu dan juga jumlah wang yang telah dilaburkan pasukan-pasukan ini.”
”Kemudian, Manchester United, Tottenham Hotspur dan Arsenal, mereka perlu kembali kepada perkara yang mereka lakukan dengan baik.
”Mereka mempunyai kualiti dalam pasukan dan mereka boleh kembali bersaing, sudah pasti.”
”Tetapi jika anda perlu memilih tiga pasukan, saya akan memilih pasukan ini (Chelsea, Liverpool dan Manchester City). Mereka mempunyai kualiti yang cukup untuk melakukannya dengan baik.”
Dalam pada itu, Benitez jelas mengakui kualiti dimiliki pengurus Chelsea, Maurizio Sarri yang cemerlang setelah mengambil alih tugasnya selaku pengurus SS Napoli pada tahun 2015.
”Kami telah melakukan apa yang perlu dilakukan. Dia melakukan dengan baik, memperagakan bola sepak yang baik dan mempunyai sekumpulan pemain yang cukup baik.”
”Kami merupakan sebuah pasukan yang menyerang dengan baik di Itali dan dia menerima kumpulan pemain ini dan bekerja bersama mereka serta melakukan dengan cemerlang.”