Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher berkata yang keputusan berbeza akan dicapai di final Champios League 2007, jika Rafa Benitez menyenaraikan dua pemain.
Menurutnya yang kini bertugas sebagai pundit di Sky Sports, tindakan Benitez mengetepikan Peter Crouch dan Craig Bellamy menjadi punca kepada kekalahan Liverpool kepada AC Milan dengan keputusan 1-2 di Stadium Olympic, Athens.
Dua tahun sebelum itu, Liverpool berhasil menewaskan AC Milan 3-2 di pentas akhir menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga berakhir masa tambahan. Namun, Rossoneri berjaya membalas dendam atas kekalahan itu.
Ia kekalahan yang amat perit baginya yang telah beraksi dalam kedua-dua pentas akhir tersebut dan jika boleh, beliau tidak lagi mahu menonton atau mengingatinya.
“Saya tidak sesekali akan menonton perlawanan tersebut lagi. Ia sangat menyakitkan untuk melihat kekalahan dalam perlawanan sebegitu, sedangkan kita sudah hampir [untuk memenanginya],” ujarnya dalam temubual bersama Sky Sports.
Dua jaringan penyerang sensasi AC Milan ketika itu, Filippo Inzaghi akhirnya berjaya melengkapkan kemenangan bermakna mereka pada malam tersebut selepas dikecewakan dengan kebangkitan dramatik Liverpool dalam edisi 2005.
“Kami tidak boleh mengeluh. Mungkin pada 2005, tuah memihak kepada kami dan mungkin Milan juga memiliki tuah, walaupun kami beraksi lebih baik,” tegasnya.
“Secara jujurnya, selepas perlawanan tersebut, saya merasakan yang usaha kami mungkin tidak cukup untuk memenanginya,” jelas Carragher yang kecewa melihat Bellamy hanya di bangku simpanan dan Crouch hanya dimasukkan di hujung aksi.
“Saya rasa mereka meletakkan [Paolo] Maldini yang telah berusia 39 atau 40 pada ketika itu dan anda akan terfikir, ‘alangkah bagusnya jika kita memiliki Bellamy dalam 20 minit untuk berdepan dengannya’,” ujarnya ketika mengenang perlawanan tersebut.
Selain itu, tindakan Benitez yang hanya memasukkan Crouch pada minit ke-78 juga dikritik Carragher, kerana menurutnya kelebihan ketinggian pemain skuad kebangsaan England itu tidak digunakan sepenuhnya dalam perlawanan tersebut.
“Beliau meletakkan Dirk Kuyt sebagai penyerang tunggal dan selepas itu barulah kita sedar yang Dirk sebenarnya tidak boleh bermain berseorangan. Itu bukan peranannya.
“Walaupun Dirk menjaringkan gol di penghujung perlawanan, namun dengan kelebihan ketinggian Crouch dan kepantasan Bellamy, anda pasti mahu menggunakan mereka di atas padang,” tambah Carragher lagi yang berganding bersama Daniel Agger.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES